Jho Low didakwa mohon pengampunan dari Trump, minta gugur semua pertuduhan?

Oleh MALAYSIADATELINE

Media antarabangsa melaporkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low kini sedang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa itu, permohonan daripada pemilik nama sebenar Low Taek Jho terbabit difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan sumber yang memiliki maklumat mengenai perkara tersebut selain turut menjelaskan bahawa semua pertuduhan jenayah dihadapi Jho Low di AS akan digugurkan jika permohonan diluluskan.

Dalam pada itu, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa carian di laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS pula mendapati terdapat satu permohonan yang masih berada dalam proses tersenarai di bawah nama Taek Jho Low.

Butiran permohonan tersebut dikategorikan sebagai ‘Pardon after Completion of Sentence’ (Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman) yang difailkan pada tahun ini, lapor Reuters.

Agensi berita Reuters belum dapat mengesahkan kesahihan laporan itu namun pegawai di Rumah Putih memaklumkan bahawa permohonan tersebut belum berada di bawah radar atau perhatian pihak Trump.

Terdahulu, Jho Low dihadapkan dengan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018, namun sehingga kini masih bebas daripada tahanan.

Pendakwa raya persekutuan AS juga mendakwa Jho Low membayar hampir AS$2 bilion (RM7.8 bilion) dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing dengan bantuan dua bekas jurubank Goldman Sachs Group bagi menjayakan ‘skim’ penipuan itu.

Dana sekitar AS$1 bilion (RM3.9 bilion) pula dipercayai disalurkan sebagai habuan kepada individu yang terlibat, manakala Jho Low sendiri didakwa memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion (RM5.58 bilion) hasil daripada skim tersebut.

Berhubung dengan kes itu, salah seorang bekas jurubank Goldman Sachs iaitu Tim Leissner telah mengaku bersalah dan turut memberikan keterangan dalam perbicaraan pada 2022 terhadap bekas rakan sejawatnya, Roger Ng.

Roger Ng kemudian disabitkan kesalahan namun dalam keterangan kepada juri, Leissner mendakwa Jho Low pernah memberi jaminan bahawa Trump terlibat secara terus dalam rundingan untuk menamatkan siasatan jenayah AS terhadap skandal 1MDB.

Leissner juga mendakwa Jho Low kononnya telah berbincang dengan menantu Trump iaitu Jared Kushner yang juga bekas penasihat kanan White House selain memperoleh sokongan dalam satu perjanjian kononnya berpotensi untuk membolehkan mereka mengelak daripada pertuduhan jenayah.

Baca juga: Zaman ni lah paling senang jumpa minyak masak paket, wanita kongsi perkara paling disukainya lepas Anwar jadi PM