Jiran dengar bunyi tangisan, kubur bayi 3 bulan digali semula lepas 4 hari dikebumi

Oleh WAN SITI AMINAH

Bunyi tangisan dari dalam tanah telah memaksa sebuah keluarga untuk menggali semula kubur bayi mereka yang dikebumikan empat hari sebelum kejadian.

Tangisan tersebut dipercayai didengari oleh seorang individu yang rapat dengan keluarga bayi itu ketika berjalan kaki melalui kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Difahamkan, bayi berusia tiga bulan itu telah disahkan meninggal dunia pada 10 September lalu akibat demam teruk dan dikebumikan pada hari yang sama.

Individu yang mempercayai bahawa bayi itu mungkin tersilap tanam hidup-hidup segera bergegas ke rumah keluarga mangsa untuk memberitahu perkara tersebut.

Setelah mendengar khabar tersebut, pihak keluarga mangsa yang berada di dalam kesedihan itu berharap terdapat sedikit keajaiban bahawa anak mereka masih hidup.

Walaupun kedengaran mustahil, mereka kemudian membuat keputusan untuk menggali semula tanah yang menguburkan bayi itu bagi memeriksa keadaannya.

Berdasarkan tangkap layar video yang beredar, kesemua ahli keluarga dilihat bermati-matian berdoa supaya bayi itu masih hidup selepas dikeluarkan dari kuburnya.

Malah, salah seorang daripada mereka juga sedaya upaya mencuba untuk menggerakkan jenazah bayi tersebut namun malangnya, tiada sebarang tindak balas.

Jenazah malang berkenaan kemudian segera dibawa ke hospital berdekatan bagi tujuan untuk pengesahan kematian sekali lagi oleh pakar perubatan.

Memetik laporan Mirror UK, kejadian menyayat hati itu berlaku di Protección, Honduras iaitu sebuah negara Amerika Tengah yang bersempadan dengan Guatemala.

Selepas mengesahkan bahawa jasad bayi itu sudah tidak bernyawa lagi, pihak hospital kemudian menyerahkan semula jenazah tersebut kepada keluarganya.

Pihak keluarga yang menerima kenyataan berkenaan dengan hati terbuka itu tiada pilihan lain selain mengebumikan semula jenazah tersebut.

Baca juga: “Berani tak bertempat”, baca bismillah sebelum makan kulit babi, pempengaruh media sosial dipenjara 2 tahun kerana persenda Islam