Apabila membicarakan isu integreti, nilai, adab, moral dan rasuah di negara ini, saya teringat kepada seorang penulis pasca moden, J.F. Lyotard dalam bukunya `Just Gaming’.
Katanya sampai ke satu tahap rakyat akan beranggapan apa yang berlaku hanyalah ‘Just Gaming’ wadah permainan dan olok-olokan bahasa melalui perkataan dan ayat terhadap undang-undang, integreti, nilai, moral dan hukum-hukum agama serta adab.
Seseorang pemimpin yang didakwa dan dituduh melakukan rasuah dan kesalahan akan memulakan ritual permainan ayat dan perkataan dengan memberikan alasan dan penjelasan-penjelasan tertentu yang mengaburkan kebenaran menjadikannya samar-samar sehingga tidak tahu sempadan batasannya lagi.
Bahagian daripada pemainan bahasa alasan dan penjelasan seperti contoh ayat “tidak tahu” apa yang berlaku.
Dalam berhadapan dengan dakwaan mereka seolah-olah tidak gentar dengan muka pengadilan kerana mereka kaya dengan alasan demi alasan (mencari kesalahan orang lain atau alih tumpuan terhadap mereka) dan penjelasan demi penjelasan yang dapat diberikan melalui permainan bahasa dan simbol-simbol yang digunakan.
Mereka bijak menggunakan perkataan tertentu, memutar belitkan fakta dengan seribu alasan dan penjelasan, pandang membelit ayat sehingga mengelirukan khlayak dan mencari jalan melepasi undang-undang. Mereka cerdik menyembunyikan, mengaburkan, serta membuatkan kebenaran itu menjadi sama-samar dan kerana bagi mereka ini semuanya hanyalah `just gaming’.
Oleh itu mengatakan sesuatu itu benar/salah, baik/buruk, moral/tidak bermoral dan seumpamanya dilakukan dalam permainan bahasa dan kata-kata supaya buruk itu baik, salah itu benar, yang tidak bermoral itu bermoral…atau kaburkan semuanya.
Maka berlakulah banyak sindiran-sindiran di media sosial yang mentertawakan penjelasan dan rasional yang diberikan sebagai mengelirukan, putar belit dan tidak masuk akal.
Cuma teliti dan bacalah penjelasan dan alasan yang biasa diberikan oleh para pemimpin yang didakwa atau dituduh dengan rasuah semacam keanak-anakan, tidak rasional, jadi bahan sindiran, jenaka dan gurauan yang menunjukkan kedangkalan atau kekacauan fikiran mereka berbanding jawatan yang mereka pegang dari sudut kenegaraan.
Kekadang kita terfikir inikah pemimpin yang kita pilih untuk mewakili kita di parlimen dan dewan undangan negeri?
Adakah yang dijelaskan Lyotard sebagai `just gaming’ adalah permainan alasan dan penjelasan dengan perkataan dan ayat seolah-olah mempermainkan asas negara keadilan dan undang-undang.
Dalam just gaming ini marilah mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama berdoa dalam suatu majlis khas seperti sambutan tahun baharu baru-baru ini supaya Malaysia bebas daripada rasuah.
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)