“Kalau awak berjodoh dengan orang lain yang lebih padan, saya doakan dan reda” – Datuk Red

Oleh WAN SITI AMINAH

Hubungan baik di antara penyanyi terkenal, Adira Suhaimi dengan usahawan iaitu Datuk Red yang masih berkekalan hingga ke hari ini meskipun tidak lagi bergelar pasangan suami isteri cukup dikagumi oleh peminat mereka.

Mana tidaknya, kedua-dua personaliti dikenali ramai itu bukan sahaja sentiasa bersedia untuk menyokong satu sama lain terutama dalam perniagaan malah sering saling mendoakan yang terbaik buat kehidupan masing-masing.

Terbaharu, Adira kembali mencuri perhatian ramai apabila memuat naik rakaman di akaun Tiktok miliknya ketika sedang menjalani satu sesi fotografi sambil menggayakan beberapa busana pengantin berwarna putih.

Rakaman tersebut turut mendapat perhatian Datuk Red yang kemudian bertindak meninggalkan komen memuji penampilan dan kecantikan bekas isterinya selain mendoakan kesejahteraan wanita terbabit.

Menurut Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu, penyanyi terbabit sememangnya tidak sepadan dengan dirinya dan akan mendoakan jika bekas isterinya kelak dipertemukan jodoh bersama lelaki lain yang lebih setara.

“MasyaAllah, cantiknya. Memang tak padan langsung dengan saya. Saya doakan awak dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik. Kalau awak ada jodoh dengan orang yang lagi sepadan, saya doakan dan reda,” tulisnya di ruangan komen.

Komen itu kemudian dibalas oleh pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi dengan turut mendoakan agar bekas suaminya juga dipertemukan dengan jodoh yang terbaik suatu hari nanti.

Terdahulu, Adira sah menjadi isteri kedua kepada Datuk Red selepas mereka menikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebelum mengambil keputusan untuk bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkongsian hidup bersama, mereka berdua telah dikurniakan dengan kehadiran empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 6, dan Ayob yang kini berusia tiga tahun.

Peminat masih lagi menyimpan harapan agar mereka berdua dapat bersatu kembali sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Baca juga: Pemuda kongsi kisah rakan, majlis kahwin macam ‘kenduri tahlil’ selepas mak tak nak serah duit kahwin RM35,000