Kena sindir beli baju murah online, ini jawapan ‘padu’ suami Atikah Suhaime

Oleh MAISARAH AISYA

Umum sedia maklum, banyak barangan berjenama popular mempunyai kaitan dengan sebuah negara yang kini menjadi sasaran boikot masyarakat dunia.

Lebih menarik, fenomena ini bukan hanya melibatkan golongan biasa, malah ada individu berstatus kaya sanggup mengetepikan jenama mewah dan memilih pakaian tanpa label.

Suami kepada pelakon Datin Atikah Suhaime iaitu Datuk Lokman Teh mendedahkan dirinya tidak malu untuk beli baju murah menerusi platform e-dagang.

Dalam hantaran di Threads, Lokman menjawab persoalan ramai mengapa dia memilih untuk tidak lagi membeli pakaian berjenama.

“Ada orang tanya saya, ‘Bos, beli baju murah online kenapa? Tak malu ke?’.

“Pertama sekali, saya memboikot barangan berjenama. Apa yang saya dah beli sebelum ini saya masih pakai, tetapi saya tidak akan sokong selagi perang belum berhenti.

“Kedua, kenapa saya perlu malu? Baju tetap baju, tidak kira murah atau mahal, ia tetap baju. Tapi awak kata, ‘Oh, barang murah nanti badan gatal sebab kain tak elok.’

“Awak mungkin orang kaya baru kot. Saya pakai murah atau mahal sama sahaja. Kenapa perlu ada jenama atau harga untuk buat diri rasa yakin,” kongsinya di Threads.

Jelasnya barang berjenama kini bukan keutamaan dirinya tapi lebih memberi tumpuan buat isteri dan anak perempuannya.

“Bagi saya sekarang, saya pakai baju murah online pun saya tetap yakin sebab ini bukan tentang apa yang saya pakai tetapi siapa diri saya.

“Keutamaan saya adalah memastikan isteri tercinta Atikah dan anak perempuan kesayangan saya mendapat yang terbaik.

“Mereka mahu apa pun, saya akan beri dahulu sebelum fikir tentang diri saya sendiri. Inilah cara seorang lelaki sebenar berfikir, bukan kawan toksik.

“Keutamaan dulu, sebab itu kamu tak kahwin atau tak berjaya. Bagi saya, saya akan lakukan apa saja untuk keluarga,” kongsinya.

Baca juga: Mimi Lana terkejut pembuli berani rakam perbuatan sendiri, lebih 10 video lalu ‘FYP’!