Pada 26 November 2022, bergema laungan ‘Reformasi’ daripada penyokong apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Laungan slogan keramat yang digunakan Anwar sejak lebih dua tahun lalu itu menandakan penamat kepada penantian lebih dua dekad sekali gus melakar sejarah dalam perjalanan politik pemimpin terbabit.
Segalanya berpunca dari kejadian pada 2 September 1998 apabila Anwar yang ketika itu bergelar Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno dipecat oleh kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemecatan itu mencetuskan gerakan Reformasi pada 20 September 1998 yang mana ribuan rakyat ‘turun padang’ di sekitar jalan raya di Kuala Lumpur untuk membantah kekejaman terhadap Anwar.
Kejadian itu juga merubah landskap politik Malaysia sehingga membawa kepada penubuhan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk membanteras kezaliman politik dan keadilan sosial.
Gerakan ini terus berevolusi sehingga lahirnya Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999 yang diterajui oleh isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan terjun ke pentas politik Malaysia.
Parti Keadilan Rakyat (PRK) yang berteraskan keadilan sosial dan politik pelbagai kaum kemudian terbentuk secara rasmi pada 3 Ogos 2003 selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
PKR kemudian membentuk gabungan dengan Bersatu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir, Amanah dan Democratic Action Party (DAP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Sejarah tercipta pada 9 Mei 2018 apabila parti gabungan tersebut iaitu Pakatan Harapan (PH) berjaya menumpaskan pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah Putrajaya selama 60 tahun.
Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri untuk sementara waktu bagi menunggu proses pengampunan diraja terhadap Anwar selesai agar boleh dibebaskan daripada penjara.
Pada 16 Mei 2018, Anwar akhirnya memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V sebelum bertanding di Port Dickson pada 13 Oktober.
Beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 23,560 undi namun impiannya menjadi Perdana Menteri tidak terkabul apabila berlaku konspirasi ‘tebuk atap’ pada Februari 2020.
Anwar bagaimanapun tidak berputus asa dan kembali bertanding dalam PRU15 di Parlimen Tambun dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti undian sebanyak 3,736.
PRU15 yang berlangsung pada 19 November itu menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Atas nasihat dititahkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menjamin kestabilan politik, Anwar membentuk Kerajaan Perpaduan BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baca juga: Kenapa orang Indonesia suka sangat datang Malaysia berbanding Thailand? Wanita ini kongsi sebabnya