OLEH BENZ ALIFF BIN MALIK
Minggu ini, mesti awak nampak gambar orang borong durian masuk guni. Durian kampung RM2 sebiji. Musang King yang dulu kita kena fikir dua tiga kali sebelum beli, sekarang dah boleh makan sampai muak.
Ramai orang kata sebabnya senang je. Musim puncak, banyak buah, harga turun. Betul. Tapi itu cuma kulit luar cerita. Sebab sebenar lagi dalam.
Dan kalau awak faham, awak bukan saja faham pasal durian. Awak faham satu pelajaran duit yang sama macam saham, kripto, dan hartanah. Jom saya cerita dari awal.
Balik ke tahun 2015 dan 2016. Masa tu Musang King jadi raja. Harga sekilo boleh cecah RM 60 sampai RM:80. China gila-gilakan durian Malaysia. Semua orang nampak benda yang sama. Durian ni emas.
Jadi apa jadi? Semua orang masuk. Tanah getah ditebang, tukar tanam durian. Tanah sawit pun sama. Ada yang beli tanah baru semata-mata nak tanam Musang King.
Di sini ramai orang silap faham. Mereka ingat pekebun ni tamak atau bodoh. Tak. Masa 2015 dulu, menanam durian adalah keputusan yang bijak. Data semua menunjukkan durian bagus untuk long term. Mereka tak salah baca peluang.
Masalahnya cuma satu. Ramai orang nampak peluang yang sama, pada masa yang sama.
Pokok durian ambil masa 5 hingga 7 tahun baru berbuah lebat. Jadi semua pokok yang ditanam masa demam 2015 tu, sekarang ni lah serentak keluarkan hasil.
Bayangkan, ribuan pekebun tanam serentak, dan sekarang berbuah serentak. Itu sebabnya pasaran penuh sampai melimpah.
Inilah yang orang panggil FOMO. ‘Fear of Missing Out’. Takut ketinggalan. Bila semua orang nampak orang lain buat duit, semua nak masuk sekali.
Dan bila terlalu ramai masuk, untung besar tu akhirnya hilang. Sama je macam saham. Sama je macam kripto.
Tapi cerita belum habis. Ada satu lagi bahagian yang lebih besar, dan inilah yang ramai orang tak tahu. Pekebun tanam durian masa tu sebab satu impian. Hantar ke China.
China ni pasaran paling besar di dunia untuk durian. Kalau dapat tembus China, auto kaya. Tapi ada masalah. Dulu, Malaysia cuma boleh hantar durian ke China dalam bentuk beku, isi, dan pes.
Bukan buah segar penuh. Sedangkan orang China makin suka durian segar, bukan beku. Sementara kita tunggu, jiran kita bergerak laju.
Vietnam menandatangani perjanjian eksport durian dengan China pada tahun 2022.
Dalam masa tiga tahun je, bahagian pasaran Vietnam di China naik dari sifar ke lebih 40 peratus. Menjelang 2025, hampir 49 peratus. Mereka hampir pintas Thailand yang dah lama jadi raja durian dunia.
Kenapa Vietnam menang? Sebab Vietnam ada sempadan darat dengan China sepanjang 1,280 kilometer. Boleh hantar durian cepat, dengan kos yang murah.
Lagi satu, harga durian dia lebih murah, dan dia boleh keluarkan buah hampir sepanjang tahun.
Malaysia pula? Kita baru dapat kebenaran hantar durian segar ke China pada Jun 2024. Penghantaran pertama baru jalan Ogos 2024. Kita lambat lebih dua tahun.
Dan masalah tak habis di situ. Durian segar tahan tiga hari je. Nak hantar guna kapal terbang mahal. Kita pun belum cukup sedia dari segi pengangkutan sejuk.
Jadi, banyak durian gred eksport yang sepatutnya jadi emas di China, akhirnya tak lepas standard atau tak laku di luar negara.
Buah tu pergi ke mana? Balik semula ke pasaran tempatan kita. Sekarang, cuba bayangkan semuanya bertimbun pada masa yang sama.
Pokok dari boom 2015 dah berbuah serentak. Banyak negeri tuai serentak. Tambah lagi durian eksport yang terbuang masuk balik dalam negara. Semua datang dalam satu masa yang sama.
Bekalan melimpah ruah. Permintaan tak naik selaju itu. Maka harga jatuh terjunam. Untuk kita yang makan, ni rezeki. Boleh borong Musang King macam beli pisang.
Tapi untuk pekebun, ni mimpi ngeri. Ramai terpaksa jual bawah kos. Sebab durian tak tahan lama. Kalau tak jual cepat, buah reput, habis modal.
Bayangkan, awak jaga pokok bertahun tahun. Bayar pekerja. Bayar baja. Akhirnya, terpaksa lepas buah pada harga yang tak tutup pun kos. Itu realiti ramai pekebun sekarang. Jadi, kenapa durian murah?
Bukan sebab orang dah tak suka durian. Bukan sebab ekonomi runtuh. Sebab sebenar ada tiga lapis.
1. Pertama, terlalu ramai masuk tanam masa demam 2015.
2. Kedua, semua pokok tu berbuah serentak sekarang.
3. Ketiga, kita lambat masuk pasaran eksport segar, dan Vietnam dah sapu dulu.
Dan inilah pelajaran sebenar di sebalik buah berduri ni.
Bila satu peluang nampak terlalu senang dan terlalu menguntungkan, biasanya itu tandanya semua orang dah nampak benda yang sama macam awak. Dan bila semua orang masuk, peluang itu dah hampir habis.
Pekebun durian tak salah bermimpi. Mereka cuma terlupa satu benda. Dalam dunia bisnes, selalunya bukan idea yang menang. Yang menang ialah timing, dan siapa yang bergerak dulu.
Vietnam bergerak dulu. Kita bergerak kemudian. Dan hari ni, harganya kita bayar dalam bentuk durian RM 2 sebiji.
Baca juga: PM Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei