Biasalah, setiap kali produk baharu dilancarkan, pelbagai reaksi pasti muncul, ada yang memuji, tak kurang juga yang memberi teguran atau meluahkan rasa kurang puas hati.
Usahawan dan pempengaruh makanan terkenal, Khairulaming tampil menjelaskan persoalan ramai mengenai punca ‘Rendang Nyet Berapi’ kelihatan berminyak.
Menurutnya, keadaan itu adalah normal kerana proses penghasilan rendang retort memerlukan ia dimasak pada suhu tinggi dalam mesin khas bagi memastikan ia tahan lama tanpa basi.
“Bila kita buka rendang yang dah retort, minyak akan nampak banyak kat dalam kuah rendang. Kenapa terjadi macam ni?
“Untuk bagi rendang tahan setahun tanpa basi, kita kena seal rendang kat dalam pouch, masuk ke dalam mesin retort, dan masak pada suhu yang tinggi (121°C) selama 1 jam lebih,” katanya dalam penjelasan yang dimuat naik di media sosial.
Jelasnya, sepanjang proses itu rendang akan dibiarkan tanpa dikacau, menyebabkan minyak, kuah dan air terpisah mengikut berat masing-masing.
“Sepanjang proses ni, rendang kat dalam pouch tu akan duduk diam dan tak disentuh atau dikacau oleh sesiapa, tapi pada masa yang sama dia akan dimasak selama sejam dalam tekanan dan suhu tinggi untuk bunuh kuman.
“Jadi air, kuah dan minyak rendang akan terpisah mengikut berat masing-masing. Minyak naik ke atas, kuah dan air duduk di bawah. Sebab tu bila kita tuang ke atas pinggan dia nampak ‘terpisah’,” kongsinya.
Pada masa sama, Khairul Aming turut membandingkan keadaan itu dengan rendang yang dimasak di rumah atau dijual di kedai.
“Berbeza dengan rendang yang kita makan pagi raya atau kat kedai, minyak tu tak terpisah sangat sebab dia bergaul sebati dengan kuah.
“Rendang tu sentiasa dikacau sebelum dihidang, dan dia tak lalu proses retort yang tinggi tekanan dan suhu sebegini,” jelasnya.
Kongsinya, minyak yang kelihatan itu bukan sekadar minyak masak, sebaliknya gabungan lemak daripada pelbagai bahan masakan rendang.
“Tapi adakah minyak yang kita nampak tu minyak masak sahaja? Sebenarnya tak. ‘Minyak’ tersebut adalah gabungan minyak masak, lemak santan yang dah pecah minyak, minyak dari kerisik dan lemak ayam yang dah cair.
“Rendang adalah satu menu tradisi yang kena masak lama, sebab tu lemak-lemak ini semua akan cair lepas kita masak. Rasa seperti masin, manis, pedas, berlemak, semua flavour ni ada kat dalam ‘minyak’ itu.
“Jadi kalau boleh jangan buang ‘minyak’ tu tau. Kacau sebati rendang tu bersama dengan ‘minyak’ dia sampai dah cantik, baru boleh makan. Selamat mencubaaa,” katanya.
Baca juga: Khairul Aming dedah kos R&D Rendang Nyet cecah RM1 juta, ribuan kilo ayam terpaksa dibuang!