Hari penentuan buat ribuan anggota keselamatan dan petugas pilihan raya akhirnya tiba apabila proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan penuh semangat demokrasi.
Beliau turut menyeru semua pengundi awal menggunakan hak yang diberikan dengan penuh tanggungjawab serta semangat demokrasi demi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
“Insya-Allah hari ini ribuan anggota keselamatan dan petugas pilihan raya akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRN Johor.
“Selamat mengundi kepada semua pengundi awal. Gunakan hak yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan semangat demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Dalam masa sama, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan supaya terus bekerja sehingga saat terakhir sepanjang tempoh berkempen.
“Kepada seluruh jentera Pakatan Harapan, teruskan bekerja sehingga saat terakhir.
“Dekati rakyat dengan adab, berkempen secara matang dan kekalkan semangat yang baik sepanjang proses pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata, usaha yang berterusan, disertai doa dan sokongan rakyat diyakini mampu membantu merealisasikan hasrat membina Johor yang lebih maju serta masa depan yang lebih baik.
Baca juga: Rakyat Johor makin matang, tak mudah dipengaruh politik kebencian dan fitnah – PM Anwar