Kerajaan negeri Kelantan tuntut siasatan menyeluruh terhadap dakwaan pesta seks sejenis

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan negeri Kelantan menggesa polis menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh berhubung serbuan perjumpaan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kemumin bulan lalu bagi mengelakkan salah faham.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, siasatan penting agar tiada pihak menjadi mangsa fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran diperoleh.

Gesaan itu dibuat susulan beberapa pihak mempersoalkan serbuan polis terhadap ‘pesta seks sejenis’ di banglo berkenaan lapor Harian Metro.

“Polemik berlaku antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta individu tertentu yang menafikan wujudnya pesta sebegitu.

“Mereka menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang menawarkan atau terbabit dalam perkhidmatan seksual semasa acara berkenaan.

“Jika terbukti siasatan dan tindakan pihak polis berasas dan benar, kita minta supaya tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang terbabit.

“Sebaliknya jika dakwaan pihak NGO dan individu terbabit itu betul, tindakan untuk memperbetulkan keadaan perlu diambil. Prinsip keadilan mesti ditegakkan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pada masa sama, Fazli menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program, terutamanya yang berpotensi menimbulkan kontroversi atau kekeliruan, perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Kegagalan mematuhi garis panduan dan prosedur boleh mencetuskan kesan yang tidak diingini serta mencemarkan keharmonian negeri.

“Kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas segala tindakan tegas dan pantas atas prinsip untuk mencegah sebarang bentuk kemungkaran sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negeri.

“Tindakan sebegitu wajar dipuji kerana selari dengan tuntutan amar makruf nahi mungkar yang menjadi antara prinsip asas dalam pentadbiran negeri ini.

“Namun selepas timbul polemik sebegini, diharapkan semua pihak hendaklah berlapang dada.

“Kebenaran hendaklah diutamakan dan semua pihak perlu diberikan hak untuk mendapat keadilan secara berhikmah,” katanya.

Fadzli menegaskan bahawa Kelantan tetap dengan pendirian tegas untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam dan nilai moral.

Pada masa sama Fazli turut menekankan bahawa sebarang bentuk kemungkaran yang cuba dinormalisasikan tidak akan diberi ruang di negeri itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menjelaskan serbuan terhadap perjumpaan LGBT di sebuah banglo di Jalan Kemumin dibuat berasaskan bukti kukuh hasil risikan polis serta aduan pihak berkaitan.

Baca juga: Kes tular: Hibah RM1 juta kekal milik isteri, keluarga arwah suami gagal cabar hak di Mahkamah Tinggi