Kerajaan perketat kemasukan sayur import mulai Jun 2026, ini lima produk terlibat

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi lima jenis sayuran import bermula 1 Jun 2026.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara.

Selain itu, ia adalah untuk memastikan produk import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan serta kualiti ditetapkan.

Lima jenis sayuran terlibat ialah cili merah, timun, tomato, sawi dan kubis bulat.

Menurut kenyataan dimuat naik di media sosial rasmi beliau, semua pengimport diwajibkan menyediakan Sijil Analisis bagi produk yang disenaraikan di bawah penguatkuasaan baharu tersebut.

“Pelaksanaan syarat CoA akan dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama KKM, MAQIS dan AKPS di semua pintu masuk negara,” katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan itu akan dijalankan secara lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan sayuran negara.

KPKM turut memberi jaminan bahawa langkah berkenaan selaras dengan komitmen kementerian dalam memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan demi kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.

Maklumat lanjut berkaitan permohonan CoA akan diumumkan menerusi laman rasmi KPKM dalam masa terdekat.

Baca juga: Pernah dipenjara lebih sedekad, ini yang Anwar Ibrahim nampak di sebalik tirai besi