“Kerana ego aku biar isteri bersalin seorang, lafaz talak sebab dia tegur terlalu lebihkan mak”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki bergelar suami tidak pernah menyangka dirinya bakal kehilangan isteri hanya kerana terlalu mengikutkan hasrat seorang insan dipanggilnya ibu.

Begitu ringan mulut mengucapkan lafaz talak, lelaki yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga itu menjadi duda sekelip mata kerana membiarkan ego menguasai diri.

Hanya menyesali tindakannya selepas dua minggu berpisah, berikut perkongsian seorang duda yang masih mengharap kasihnya dengan isteri kembali bertaut seperti dahulu.

“Assalamualaikum semua, aku Hairi. Aku baru sahaja bercerai berpunca dari ego dan silap sendiri. Harap bekas isteri dapat maafkan dan beri aku peluang lagi untuk menjadi suami yang baik untuk dia. Kami suami isteri ini sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang puteri.

“Kami buat perkahwinan jarak jauh (PJJ) disebabkan oleh pekerjaan. Aku di Kuala Lumpur dan dia pula seorang guru di utara tanah air. Di sini aku tinggal dengan keluarga. Isteri pula dengan keluarganya di utara. Aku ada niat untuk pindah bekerja dengan isteri. Tetapi mak tak izinkan. Macam-macam dia ugut aku.

“Aku pun bodoh, ikut sahaja. Sampaikan hati isteri sendiri pun aku abaikan. Masa dia mengandung, aku langsung tak ambil tahu. Sebab aku terlalu ikut semua cakap mak untuk biarkan isteri berdikari. Nafkah pun aku bagi RM200 sahaja sebulan. Barang-barang anak, satu pun aku tak pernah tolong belikan. 

“Satu hari, aku dapat tahu isteri nak melahirkan anak. Dia beri tahu malam sebelum melahirkan. Katanya, rasa macam nak bersalin. Tetapi aku buat tak tahu dan terus tidur. Isteri selamat melahirkan puteri kami pada pukul 6 pagi. Aku sampai sana pada jam 5 petang. Betapa kejamnya aku, tiada masa dia perlukan suami di sisi.

“Aku tahu isteri terasa. Tetapi aku buat tak nampak tanpa berikan sebarang kata maaf. Bodohnya aku. Tiap-tiap bulan kami bergaduh hanya sebab nafkah yang aku beri. Dia cakap aku lepaskan semua tanggungjawab di atas bahunya. Masa ada anak, aku hanya berikan RM150 kepadanya. Aku terlalu ikutkan apa kata mak.

“Mak cakap isteri aku bekerja. Duit itu boleh beri kepada mak untuk beli barang lain. Bodohnya aku waktu itu. Lama-kelamaan isteri berhenti mesej di Whatsapp atau hubungi aku. Masa itu aku tak anggap serius. Sampailah satu hari, mak telefon kata ada surat dari mahkamah. Isteri minta cerai. Masa itu aku rasa sangat marah.

“Aku pergi jumpa isteri dan minta penjelasan. Satu sahaja yang dia cakap, aku tak adil. Aku lebihkan mak dan ketepikan hak dia. Masa itu juga aku terus ceraikan isteri. Bodohnya aku waktu itu. Aku terlalu ego. Dua minggu selepas kejadian itu, aku mula rasa rindu. Aku rindu dia telefon, rindu dia merajuk dan semua tentang dia.

“Masa itu barulah tersedar, aku sudah kehilangan orang yang terima aku seadanya. Untuk pengetahuan semua, aku ini kerja kilang sahaja. Masa kami kenal, aku tiada kereta. Isteri masih terima aku. Katanya, mahu susah senang dengan aku. Zalimnya aku. Dia belikan kereta terpakai untuk senang aku balik jenguk dia dan anak.

“Tetapi aku gunakannya untuk kesenangan mak pergi membeli belah. Sekarang ini, aku tak tahu dia pindah mana. Aku cuma nak minta maaf dengan dengannya. Aku tahu kamu semua akan kecam. Tetapi niat aku cuma nak minta maaf. Aku tahu dekat hati, sudah tiada ruang untuk kembali. Walau macam mana dipujuk, aku tahu.

“Dia boleh dapat lelaki yang lebih baik daripada aku. Untuk bekas isteri aku Erina, maafkan abang atas kekilafan semasa abang masih suami awak. Kalau ada jodoh di antara kita lagi, abang bersyukur. Tetapi kalau tiada, abang reda sebab ini semua salah abang. Kepada lelaki di luar sana, hargailah isteri anda semua.

“Jangan kerana ego dan kejar syurga seorang ibu, anda hilang isteri iaitu insan yang ikhlas bersama kamu. Aku harap kisah ini menjadi teladan buat lelaki-lelaki di luar sana. Jangan jadi macam aku. Disebabkan ego dan rasa semua yang mak cakap itu betul, aku kehilangan isteri.” Kongsi pemuda itu di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Siap ‘survey’ rumah orang tua, Syafinaz Selamat tak terfikir soal kahwin