Walaupun perjalanan Proton Saga penuh liku dan kontroversi, jenama itu berjaya menempa nama di pentas automotif dunia dan projek ini sememangnya bercita-cita tinggi.
Proton mengembangkan sayapnya di luar negara dan mengimport keretanya sehingga ke Eropah.
Ireland menjadi pasaran Eropah pertama bagi eksport Proton, namun kedatangannya sebenarnya lebih ditunggu-tunggu di UK.
Sedang Proton bergelut untuk melepaskan imej “kereta pakcik pencen”, ditambah pula dengan model-model seterusnya yang kurang berdaya saing, jenama itu akhirnya terpaksa mengundurkan diri dari pasaran negara Eropah pada tahun 2016 – setelah 141,209 unit terjual di sana sejak 1989.
Walaupun sudah tidak kelihatan sejak 7 tahun lalu, Proton masih dirindui oleh sekumpulan peminat British yang jatuh cinta pada segmen menarik lagi ‘rare’ ini.
Sentimen, memori, dan nostalgia nyata menentukan nilainya yang sebenar.

Menurut laman sesawang data UK, kurang daripada 80 unit kereta Proton Saga yang masih berdaftar di UK – turun dari kemuncaknya iaitu 53,400 unit pada 1995.
Dua unit daripada 80 Saga yang masih bertahan dimiliki oleh seorang lelaki yang cukup terkenal dalam komuniti peminat Saga/Lancer Fiore tempatan.
Jon, seorang detektif polis, memiliki bukan saja sebuah, malah dua buah Saga.
Sebenarnya, dia memiliki empat buah kereta Proton; yang terbaru ialah Proton Saga Iswara 1.3 GE 1994 iaitu model ‘base spec’ dengan hanya satu cermin sisi iaitu di sebelah pemandu.
Jon amat menggemari kereta yang aneh dan jarang ditemui sehinggakan koleksinya berkembang kepada sekurang-kurangnya 15 buah kereta, antaranya masih disimpan rapi di dalam garaj rumahnya.
Malah, dia pernah memiliki sebuah Perodua Kelisa, namun dia terpaksa menjualnya bagi memberi ruang untuk koleksinya yang lain.
Dia memberitahu WapCar yang cintanya terhadap Proton datang tanpa diduga apabila dia terjumpa sebuah kereta Proton untuk dijual pada tahun 2017.
Sebelum insiden itu, dia tidak pernah mendengar jenama kereta ini dan setelah sampai di rumah, barulah dia sedar betapa hebat dan istimewanya Proton ketika itu.

“Sejak itu, saya jatuh cinta dengannya (Proton), gayanya, dan segala-galanya tentang jenama kereta ini. Saya rasa senang yang di UK, ia amat jarang ditemui dan kini hampir pupus,” kata Jon kepada WapCar tahun lalu.
“Bagi saya, keterujaan datang dari pencariannya dan memulihkannya seperti dari zaman kegemilangannya.”
Sementara itu, Ruffian ialah seorang penulis kereta British yang amat meminati jenama-jenama kereta yang jarang didengari, terutama sekali jenama dari Timur Jauh termasuklah kereta Korea dan Malaysia.
Buat masa ini, dia memiliki sebuah Proton Saga Iswara 1.3 GL 1994 dengan nama timangan ‘Bill’.
Lebih menarik, bukan orang-orang muda saja yang mula terpikat dengan keterujaan memiliki kereta Proton lama di UK.
Beberapa peminat tegar kereta klasik yang terkenal sudah mula menghargai kereta-kereta Proton yang dianggap bukan sekadar kereta belasahan murah (cheap banger), atau kadangkala digelar “chod”.
Steph Holloway, pengacara saluran YouTube @idriveaclassic, pernah memaparkan sepasang Saga milik Jon di salah satu videonya. Sejak itu, dia juga terpikat dengan Proton dan akhirnya membeli sebuah Proton Iswara 1.5 GL 1993 “barn find” dengan ‘mileage’ rendah.
Sejak Steph membeli kereta Protonnya, dia telah menambah 10,000 batu (~16,000 km) pada mileage dan sepanjang pemilikannya, dia kagum dengan kondisi sempurna kereta berusia hampir 30 tahun itu.
Malah, ketika ia mula-mula ditemui terbiar sedekad lamanya, kereta itu boleh dihidupkan dengan mudah, dan ia hanya perlukan bateri baru.
Ini barangkali boleh jadi bukti kukuh bagi membuktikan ketahanan kereta-kereta Proton lama ini.
Pemilikan kereta Proton di UK tidak memakan kos tinggi dan memandangkan ia meminjam teknologi Jepun dari Mitsubishi, secara amnya ia cukup tahan lasak.
Kebanyakan pemilik yang kami temubual untuk artikel ini menyatakan betapa lasak dan mudahnya memiliki kereta-kereta ini walaupun ia sudah berusia.