Kes Zara Qairina: Pengetua, PK HEM dan warden ditempatkan sementara di JPN Sabah hingga siasatan selesai

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha akan ditempatkan secara sementara di Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir selesai.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan itu diambil susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa siasatan kes pelajar Tingkatan Satu berkenaan diambil alih oleh Pasukan Petugas Khas Bukit Aman.

Dalam kenyataan yang sama, KPM turut menjamin kesiapsiagaan pihaknya dalam memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan kes dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini. KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan dan keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan itu.

Allahyarhamah Zara Qairina, 13, adalah pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah yang dilaporkan meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pada pukul 3 pagi dan didapati mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan.

Kemudian pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Zara untuk digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

Prosedur dibuat untuk menentukan punca kematian dan AGC juga berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Susulan itu, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang pada 9 Ogos sebelum jenazah mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.

Allahyarhamah selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama selepas prosedur yang mengambil masa selama kira-kira lapan jam itu selesai dijalankan.

Baca juga: Gambar anak dilabel ‘muka pembunuh’, bapa lapor polis nafi terbabit kes Zara Qairina