Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meneruskan tugasan rasmi beliau di Republik Uzbekistan dengan mengadakan lawatan ke Rice Research Institute (RRI), Tashkent.
Ini adalah untuk meninjau perkembangan penyelidikan dan inovasi industri padi serta meneroka peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Uzbekistan.
Dalam hantaran di media sosial, Mohamad Sabu memaklumkan ketibaan delegasi Malaysia disambut oleh Pengarah Rice Research Institute of Uzbekistan, Mr. Shodmon Nomozov bersama para penyelidik dan pegawai institusi tersebut.
Menurut Mohamad Sabu, sektor padi dan beras sentiasa menjadi fokus utama kerajaan Malaysia kerana ia merupakan makanan ruji rakyat serta komoditi strategik negara dalam agenda keselamatan makanan.
“Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, kekangan sumber dan peningkatan permintaan makanan global, usaha memperkukuhkan industri padi perlu dipertingkatkan secara berterusan.
Beliau turut berkongsi bahawa Malaysia melalui institusi penyelidikan pertanian dan universiti tempatan telah membangunkan kepakaran dalam bidang pembiakbakaan padi serta pembangunan benih berkualiti bagi memperkukuhkan industri padi negara.
Selain itu, Malaysia juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit dan perosak, pertanian tepat (precision farming) serta teknologi pascatuai bagi meningkatkan produktiviti dan daya tahan sektor padi negara.
Lawatan rasmi ini turut membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan teknikal dalam bidang penyelidikan padi dan pembangunan teknologi pertanian moden.
Mohamad Sabu percaya kerjasama lebih erat antara institusi penyelidikan Malaysia dan Uzbekistan mampu memberi manfaat besar kepada petani selain membantu memperkukuhkan jaminan bekalan makanan dan kesejahteraan generasi akan datang di kedua-dua negara.
Beliau juga berharap lebih banyak peluang dapat diteroka menerusi pertukaran penyelidik, kajian bersama serta perkongsian teknologi dan pengetahuan antara Malaysia dan Uzbekistan pada masa hadapan.