Ketua cabang PKR sekolahkan Latheefa: Apakah kamu sudah lupa…

Oleh MALAYSIADATELINE

Oleh ASHEEQ ALI SETHI ALIVI

Saya merujuk kepada kenyataan Latheefa Koya di portal Malaysiakini bertarikh 13 July 2025 yang mana Latheefa Koya menggesa kerajaan untuk segera lucutkan kuasa perdana menteri dan eksekutif daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim.

Ironinya, gesaan ini datang daripada seorang “bekas” ahli politik yang secara tiba-tiba dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Mungkin Latheefa Koya lupa bahawa kuasa dan prerogatif seseorang Perdana Menteri yang beliau gesa untuk lucutkan sekarang, adalah kuasa yang sama yang telah digunakan untuk melantik beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Persoalannya, sewaktu dilantik sebagai Ketua SPRM oleh Tun Dr Mahathir, mengapa Latheefa tidak menggesa Tun Dr Mahathir untuk lucutkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim mahupun SPRM? Adakah kerana ketika itu kuasa tersebut menguntungkan sesetengah pihak ?

Terkait kebocoran sebuah dokumen mirip minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Latheefa Koya juga melabelkan perkara yang terkandung dalam dokumen itu sebagai “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah.”

Dokumen-dokumen yang didakwa mirip minit mesyuarat JAC itu belum disahkan ketulenannya, apatah lagi pengesahan terhadap dakwaan yang terkandung dalam dokumen dokumen tersebut. Sebagai seorang peguam, Latheefa sepatutnya lebih arif mengenai aspek ketulenan sesuatu keterangan. Namun begitu, Latheefa dengan pantas dan dangkal melabelkan isu tersebut sebagai skandal terbesar dalam sejarah.

Pada tahun 1988, badan kehakiman negara berhadapan dengan krisis ekoran pemecatan Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri yang telah melantik Latheefa sebagai Ketua SPRM. Peristiwa itu juga menyaksikan berlakunya pindaan terhadap Perlembagaan yang dibuat oleh kerajaan Tun Dr Mahathir untuk menghadkan kuasa mahkamah ketika itu. Sekali lagi, Latheefa Koya mungkin lupa.

Pada tahun 2007, badan kehakiman turut dilanda skandal dengan penyebaran sebuah rakaman video perbualan seorang peguam yang mendedahkan campur tangan di dalam negara dalam pelantikan hakim. Setelah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melakukan siasatan, antara individu yang telah dicadangkan oleh RCI untuk diambil tindakan adalah termasuk Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri yang sama yang telah melantik Latheefa sebagai Ketua SPRM.

Skandal-skandal tersebut merupakan skandal kehakiman yang sebenar, namun Latheefa seakan-akan sudah lupa. Atau mungkin beliau buat-buat lupa kerana ia melibatkan Tun Dr Mahathir? Wallahualam.

Pelantikan Ketua Hakim Negara ada prosesnya yang tersendiri termasuk rundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu. Hormati proses tersebut. Sebaiknya Latheefa harus berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat populis semata-mata lebih lebih lagi apabila Latheefa sendiri telah menikmati hasil pada suatu ketika dahulu daripada sistem kuasa yang sama yang kini beliau persoalkan.

*Penulis adalah Ketua Cabang PKR Batu.