Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berhubung kemungkinan Anthony Loke menjadi Menteri Besar sekiranya beliau tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai tidak wajar dan melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Aminuddin berkata beliau menghormati Asyraf Wajdi sebagai seorang pemimpin yang bijaksana, namun berpandangan kenyataan sedemikian tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang berpengalaman.
“Saya hormat Dr Asyraf Wajdi sebagai pemimpin yang bijaksana, tetapi kenyataan ini sepatutnya tidak datang daripada beliau, yang saya anggap bijak dalam percaturan dan pertuturan,” katanya.
Dalam satu temu bual yang turut dikongsikan di Facebook, Aminuddin berkata kenyataan yang mendakwa Anthony Loke akan dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya beliau kalah adalah satu perbuatan yang ‘cukup biadab’.
“Saya nak tegur Asraf Wajdi. Saya merasakan dia sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang bijaksana.
“Tetapi apabila dia mengatakan bahawa kalau saya kalah di Linggi, Anthony Loke akan jadi Menteri Besar, saya rasa ini satu perbuatan yang cukup biadab,” ujarnya dalam temu bual berkenaan.
Beliau menegaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Negeri Sembilan telah memperuntukkan bahawa jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Kita tahu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri menyatakan bahawa yang boleh menjadi Menteri Besar ialah orang Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pimpinan UMNO menegur Asyraf Wajdi kerana mendakwa kenyataan tersebut seolah-olah tidak menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Aminuddin turut mengingatkan agar kempen pilihan raya tidak menyentuh institusi yang perlu dihormati, termasuk institusi Raja-Raja Melayu.
“Boleh bergurau, tetapi biarlah bertempat. Jangan cari masalah.
“Saya harap dia mohon maaf, bukan kepada saya, tetapi kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta seluruh rakyat Negeri Sembilan,” tambahnya.
Katanya, semua pihak perlu lebih berhati-hati ketika berkempen dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang salah faham atau menyentuh institusi yang dihormati.
Baca juga: Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah – PM Anwar