Penanaman Komersial Pertama Keledek Vitato Di Perak Tuai Hasil Lebih Dua Tan

Oleh BERNAMA

Penanaman ubi keledek vitato (ubi vitato) secara komersial pertama di Perak iaitu di Kampung Redang Sawa di sini berjaya menghasilkan tuaian lebih dua tan, sekali gus membuka potensi baharu pengeluaran tanaman bernutrisi tinggi itu di negeri ini.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perak Dr. Noor Shaeda Ismail berkata penanaman di bawah Projek Perintis MARDI bermula sejak Februari lepas itu, turut menandakan permulaan positif bagi varieti berkenaan yang sebelum ini lebih popular di pantai timur, khususnya Kelantan.

“Langkah memperluaskan teknologi serta tanaman ubi vitato ini di Perak juga kerana ia mudah ditanam, berpotensi tinggi untuk dikembangkan selain kita mahu memperkenalkan kelebihannya kepada petani tempatan memandangkan selama ini ia hanya popular di pantai timur.

“Ubi vitato ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa yang lebih manis serta kandungan beta-karotena yang tinggi mencapai sekitar dua miligram (mg) bagi setiap 100 gram isi, menjadikannya lebih berkualiti  berbanding keledek biasa,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Redang Sawa di sini semalam. 

Noor Shaeda berkata ubi vitato yang dikenali dengan nama saintifik Ipomoea Batatas itu juga mempunyai kebolehpasaran yang luas terutama dalam penghasilan sebagai produk hiliran.

“Produk tepung vitato yang dibangunkan MARDI misalnya, boleh menggantikan tepung gandum untuk pembuatan produk bakeri seperti kek, mufin, dan donat, selain turut berpotensi besar dijadikan produk minuman berasaskan vitato,” katanya.

Mengenai potensi pengeluaran tanaman berkenaan, beliau memaklumkan penanaman optimum bagi satu hektar mampu menghasilkan antara 25 hingga 30 tan ubi vitato.

Beliau berkata dengan anggaran harga jualan di ladang sekitar RM2 sekilogram, pengusaha mampu meraih pendapatan kasar hingga RM60,000 per hektar, dengan unjuran keuntungan bersih sekitar RM35,000 bagi satu musim penanaman yang mengambil masa kira-kira tiga hingga empat bulan.

Selain itu, beliau berkata bagi memastikan penanaman varieti berkenaan dapat diperluaskan, pihak MARDI membekalkan bahan tanaman secara percuma kepada petani terpilih menerusi program perintis yang dilaksanakan.

“Pihak MARDI juga akan menjalankan lawatan penilaian sebelum kelulusan diberikan dan sekiranya terpilih kita akan bagi bahan tanaman secara percuma serta khidmat nasihat teknikal secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha projek perintis berkenaan Mohd Zaini Abdul Ghani, 48, bersyukur apabila usaha sulungnya menanam ubi vitato sejak Februari lepas membuahkan hasil memberangsangkan.

Pemuda berasal dari Kedah itu berkata penglibatannya bermula atas saranan Ketua Pengarah MARDI Malaysia Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani yang menggalakkannya mencuba varieti baharu itu.

“Untuk musim pertama ini terdapat lebih 2,000 pokok ubi vitato yang ditanam di sini dengan bantuan pihak MARDI. Walaupun ini merupakan projek rintis ia berjaya mengeluarkan hasil sekitar dua tan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pertanian.

Mohd Zaini berkata hasil tuaian ubi berkenaan dipasarkan secara terus kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada harga RM3 sekilogram bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Beliau berkata penanaman ubi vitato mempunyai beberapa kelebihan berbanding ubi keledek biasa, terutamanya tempoh matang yang lebih singkat, manakala dari segi penjagaan ia hanya memerlukan tanah dan cuaca yang sesuai, kawalan perosak dan sistem pengairan yang baik bagi mengelakkan ubi rosak atau bersaiz kecil. —BERNAMA.

Baca juga: Belanjawan 2027: Kerajaan Disaran Tambah Kemudahan Pengecasan, Insentif Beli EV