Kisah jiran Cina ambil kad laporan murid India sentuh hati netizen, siap bayarkan yuran PIBG!

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian gambar memaparkan kehadiran lelaki Cina untuk mengambil kad laporan seorang murid berbangsa India dikatakan berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini telah berjaya menyentuh hati orang ramai.

Mana tidaknya, gambar tersebut telah memperlihatkan sikap ihsan dan semangat muhibbah masyarakat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum seperti yang diceritakan menerusi hantaran tular di platform Threads tersebut.

Difahamkan, lelaki Cina terbabit meluangkan masanya untuk pergi ke sekolah menghadiri Hari Perjumpaan Ibu Bapa bagi menandatangani kad laporan prestasi murid milik kanak-kanak India yang merupakan anak jirannya.

Lelaki yang sudah berusia itu juga turut membantu murid berkenaan dengan membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekali gus membuatkan perakam gambar tersebut merasa cukup terharu.

“Gambar ini istimewa. Sebabnya ‘uncle’ Cina ini sanggup luangkan masa pergi ke sekolah untuk tanda tangan kad laporan anak jiran dia yang berbangsa India. Aku tak pernah terfikir nak bawa anak jiran, inikan pula berlainan bangsa.

“Nampak janggal pula. Tetapi apabila cikgu tanya tentang yuran PIBG, uncle ini cakap tidak mengapa dia bayarkan. Cikgu pun pesan nanti beritahu ibu bapa. Tetapi katanya, ‘Tiada hal lah, kita kenalah tolong menolong’.

“Terharunya. Terima kasih uncle kerana telah mengajar saya sesuatu hari ini. Uncle juga telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia adalah warga yang cinta damai.” Ujarnya dalam perkongsian tersebut.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna tidak menafikan bahawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia sememangnya mempunyai semangat Muhibbah dari dahulu kala.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi apabila ibu bapa mereka tidak dapat hadir ke sekolah termasuk kerana masalah pengangkutan hingga terpaksa mendapatkan bantuan saudara-mara atau jiran.

Berikut antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Threads dalam perkongsian itu.

Baca juga: Dah bayar RM28k, ‘ah long’ ditahan selepas paksa mangsa bayar RM60k