‘Konon kutip derma bina masjid, bila dapat, duit diberi kepada isteri’ – Azam Baki

Oleh MALAYSIADATELINE

Zaman kini, usaha mengutip derma tidak lagi memerlukan seseorang berdiri di tepi jalan, cukup sekadar memuat naik nombor akaun bank atau QR code di media sosial

Pasti ada insan berhati mulia yang sudi menghulurkan bantuan namun agak menyedihkan apabila ada pihak yang menyalahgunakan kepercayaan tersebut.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan ada pihak mengutip derma untuk bantuan namun wang diberikan kepada isteri lapor Harian Metro.

“Ada yang kononnya kutip derma atau dana awam untuk mendirikan masjid, tetapi wang diperoleh sebaliknya diberikan kepada isteri.

“Ini amat menyedihkan,” jelas Azam seperti dipetik Harian Metro.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar SPRM selepas mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana yang mencecah jutaan ringgit.

Jelas Azam, ketiadaan undang-undang khusus bagi mengawal kutipan dana awam secara dalam talian atau menggunakan konsep ‘crowd funding’ membuka ruang kepada penyalahgunaan wang.

“Ini sekarang memang tak ada undang-undang. Masalah ini ialah tentang kutipan wang melalui online payment (pembayaran dalam talian) dan sebagainya.

“Individu tertentu mencipta dan memanggilnya sebagai ‘crowdfunding’ tetapi setakat ini tiada undang-undang yang boleh mengekang walaupun ia dibuat secara terbuka,” kongsinya.

Tegasnya, mereka yang ingin mengutip dana awam perlu mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihak kementerian atau badan berwajib.

Malah perlu memastikan akaun kutipan adalah sah serta disahkan dan selepas kelulusan daripada pengawal selia barulah dana boleh dijalankan dengan sijil rasmi sebagai pengesahan.

Baca juga: Pembantu rumah larikan barang kemas, tinggal 2 anak majikan lepas sebulan kerja