Kos selenggara stadium JDT rupanya cecah RM7 juta setahun, TMJ kata “itu pun terkial-kial saya nak bayar”

Oleh KIM SYAZIE

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa kos penyelenggaraan stadium JDT sebenarnya memakan belanja sehingga berjuta ringgit setahun.

Mendedahkan hal itu pada Mei lalu, Tunku Ismail berkata stadium JDT yang dibina dengan kos RM200 juta itu memerlukan kira-kira RM7 juta setahun hanya untuk bahagian penyelenggaraan.

Oleh sebab itu Tunku Ismail menasihatkan, sebelum memikirkan mengenai stadium, lebih baik setiap pasukan memberi fokus kepada penukaran rumput di mana kos penyelenggaraan setahun sekitar RM200,000.

“Kos penyelenggaraan stadium JDT RM7 juta setahun, itu pun kami terkial-kial nak bayar. Kalau stadium lebih kecil sekitar RM 4-5 juta setahun. Jika kos penyelenggaraan padang yang RM200,000 setahun pun tak mampu apatah lagi RM5 juta.

“Jika stadium baru canggih seperti disebut-sebut sebelum ini dibina, kos penyelenggaraan akan mencecah RM30 juta atau RM60 juta setahun,” katanya di laman sosial miliknya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan terdapat beberapa kelab ingin mendapatkan pemilikan stadium yang didiami mereka menerusi sistem pajakan, namun gagal atas beberapa faktor.

Ketika ini, hanya JDT satu-satunya kelab Liga Malaysia yang mempunyai venue sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang siap dibina pada 2020.

Stadium JDT itu juga dicanang sebagai stadium dengan kemudahan bertaraf dunia sehingga mampu memuatkan kapasiti penonton seramai 40,000 orang.

Baca juga: 2 kali mengandungkan anak orang, lelaki boleh pula cakap nak fikir dulu sebelum bertanggungjawab