Tular mengenai situasi di Kampung Padang, Kuantan dilanda ribut kuat yang mengakibatkan suasana menjadi huru-hara Khamis lalu.
Tiupan angin kencang telah merosakkan banyak barangan niaga peniaga termasuk khemah yang diterbangkan dan rosak teruk.
Seramai lapan peniaga yang terjejas akibat ribut akan menerima bantuan awal segera bagi meringankan beban kerugian mereka.
Perkara tersebut dikongsi menerusi Facebook Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi.
“Khamis lalu, lapan buah tapak niaga di Kampung Padang, Kuantan mengalami kerosakan akibat dibadai ribut.
“Usai menerima laporan, saya bersama pasukan telah ke sana bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku serta mendengar sendiri keluhan para peniaga,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook.
Jelasnya, bantuan awal itu disalurkan dengan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Alhamdulillah, dengan dukungan daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Sejumlah bantuan awal segera dapat disalurkan yang diharapkan meringankan sedikit beban kerugian yang dialami.
“Insya-Allah, usaha ini menjadi permulaan agar lapan peniaga di Kampung Padang dapat bangkit kembali dan memulakan semula perniagaan,” kongsinya.
Baca juga: Dr Akmal Salleh beri kerjasama penuh, tidak gentar jika disiasat bawah akta hasutan