“Bukan kerja saya” – Lelaki baiki sendiri laluan jalan kaki di Kota Bharu, risau orang buta jatuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan kerja membaik pulih di laluan pejalan kaki yang terletak kawasan sekitar di Kota Bharu, Kelantan sedang dilakukan.

Namun perkara membuatkan video tersebut mencuri perhatian ramai adalah individu yang membaiki laluan berkenaan adalah orang awam bukanlah pihak bertanggungjawab.

Difahamkan, individu itu sanggup menyumbangkan tenaganya secara percuma malah menggunakan peralatan dan barangnya sendiri untuk membaiki laluan tersebut.

Menerusi video dikongsikan di platform TikTok, individu terbabit mengakui risau berlaku perkara tidak diinginkan kepada orang buta yang menggunakan laluan pejalan kaki berkenaan.

“Bukan kerja saya. Tetapi saya tak boleh biarkan orang buta jatuh di sini,” katanya dalam ruangan kapsyen video menjelaskan tujuannya membaiki laluan tersebut secara sekarela.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.6 juta tontonan yang mana rata-rata pengguna TikTok mengagumi keikhlasan hati lelaki terbabit.

Mereka memuji tindakan lelaki itu melakukan kerja baik pulih secara sukarela demi kebaikan orang ramai dan mengirimkan doa agar rezekinya semakin berlimpah.

“Boleh buat terus ke? Bukankah kena mesyuarat dahulu? Lantik ahli jawatankuasa, buka tender dan sambung mesyuarat dua ke tiga tahun ke baru boleh baiki,” kata seorang pengguna dalam nada perlian kepada pihak bertanggungjawab.

“Ya Allah, berikan rezeki yang melimpah ruah buat insan baik hati ini. Berikan dia kesihatan yang baik. Permudahkan segala urusannya sebagaimana dia mudahkan urusan orang lain.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Siap ada QR & hologram! Ini perubahan besar MyKad yang bakal diperkenal bulan depan