Siap ada QR & hologram! Ini perubahan besar MyKad yang bakal diperkenal bulan depan

Oleh MALAYSIADATELINE

Ramai tak sabar tunggu ‘wajah baharu’ MyKad Malaysia! Bermula bulan depan, MyKad terbaharu dijangka diperkenalkan dengan peningkatan besar dari segi keselamatan.

Ia juga dilengkapi 53 ciri keselamatan canggih, jauh lebih banyak berbanding hanya 23 ciri pada MyKad sedia ada

Memetik Bernama, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata terdapat pelbagai ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan.

Antaranya ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

“Yang pastinya ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Pelancaran akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya dan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita telah bersedia untuk tujuan tersebut,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan MyKad baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan identiti rakyat

Ini adalah selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.

Jelas beliau, bukan MyKad sahaja malah MyPoCA dan MyTentera juga akan menampilkan versi baharu bulan depan.

Bagaimanapun Badrul Hisham menjelaskan bahawa MyKad baharu itu tidak akan dilengkapi dengan elemen Touch ‘N Go.

Baca juga: Tak nak undi PM Anwar kalau gajah DAK tak balik Malaysia? Individu ini disekolahkan netizen