Seorang lelaki tidak pernah menyangka, sebatang gigi miliknya bakal patah gara-gara menggigit sebatang popia sira liat yang dibelinya di sebuah Bazar Ramadan.
Meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya, lelaki berkenaan memuat naik satu rakaman video di laman Tiktok miliknya bersama dengan kapsyen ‘tergadai masa depan aku’.
Jelasnya, popia sira tersebut dibelinya dengan harga RM8 di sebuah bazar ramadan yang tidak dinyatakan lokasi sebagai salah satu juadah untuk dirinya berbuka puasa.
Namun alangkah kecewanya pemuda itu selepas mendapati popia sira ‘mahal’ yang dibelinya langsung tidak menyelerakan selain liat sehingga ia sukar untuk dinikmati.
Malah, hidangan tersebut turut mengakibatkan sebatang gigi miliknya patah ekoran usahanya menggigit popia sira terbabit berikutan ia memiliki tekstur yang sangat liat.
Lelaki berkenaan kemudian mengambil lesung batu untuk menumbuk popia tersebut di hadapan kamera bagi membuktikan kepada para penonton betapa liatnya kuih itu.
“Kamu semua ini berniaga macam mana? Kalau tak tahu masak, janganlah berniaga. Tengok ini gigi aku, patah sebab menggigit kulit popia.
“Aku tunjuk ini (menumbuk popia di dalam lesung) bukanlah nak sabotaj. Tetapi inilah realitinya. Sengsara tahu tak, gigi aku patah,” kata pelanggan dalam video tersebut.
Tular di media sosial, perkongsian yang mengundang perbincangan hangat itu telah berjaya meraih sebanyak 1.4 juta kali tontonan daripada pengguna platform Tiktok.
Ruangan komen perkongsian itu dibanjiri dengan pelbagai reaksi daripada pengguna di antaranya mengenai kualiti makanan di Bazar Ramadan yang semakin menurun.
Beberapa individu turut berkongsi pengalaman menikmati hidangan berbuka yang mahal namun kualitinya cukup mengecewakan malah basi setelah dibawa pulang.
“Sama! Peniaga di Bazar Ramadan sekarang teruk! Dekat Pantai Dalam pun sama, beli sagu gula melaka untuk dimakan semasa berbuka. Tetapi sudah masam dan basi,” kata seorang pengguna.
“Aku pernah kena ‘scam’ juga. Gigih beratur panjang beli popia goreng. Satu ketul RM1.50 kot. Sekali pergh, rasa macam kayu-kayan. Rabak gigi.” Kongsi pengguna lain.