Lelaki ditangkap khalwat beri alasan nak tumpang cas telefon, tertidur tunggu bateri penuh

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berusia 19 tahun memberi alasan mahu menumpang cas telefon miliknya sebelum tertidur ketika ditangkap khalwat bersama seorang gadis dalam sebuah bilik hotel bajet di Mersing, Johor baru-baru ini.

Pasangan bukan mahram terbabit dicekup oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) selepas serbuan dijalankan di hotel bajet berkenaan pada Khamis lalu sekitar jam 1 pagi.

Ketika serbuan dijalankan, pintu bilik hotel itu dibuka oleh seorang wanita berusia 26 tahun manakala lelaki terbabit sedang tidur dengan nyenyak di atas katil sehingga perlu dikejutkan beberapa kali.

“Kedua-duanya masih bujang dan bekerja di sebuah kedai yang sama. Pintu bilik dibuka oleh wanita yang memakai kemeja-T, berseluar panjang dan tidak bertudung. Di atas katil, didapati seorang lelaki berseluar pendek.

“Lelaki itu tidak berbaju dan sedang tidur dengan sangat nyenyak. Dia tidak sedar akan kehadiran penguat kuasa mungkin kerana terlalu keletihan. Penguat kuasa terpaksa mengejut lelaki itu sehingga bangun dan sedar.

“Pemuda terbabit juga diminta untuk membasuh muka kerana bimbang dia belum sedar sepenuhnya. Dikatakan pada malam kejadian, mereka pulang kerja lewat kerana ramai pelanggan di kedai pada malam itu,” kongsi Jainj.

Mereka kemudian membuat keputusan untuk bermalam di hotel kerana mendakwa jarak rumah agak jauh selain cuaca hujan sebelum ditangkap khalwat ekoran didapati berdua-dua dalam keadaan mencurigakan di bilik itu.

Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana kesalahan berkhalwat.

“Lelaki itu datang ke bilik ini atas alasan nak tumpang cas telefon kerana baterinya habis. Sambil menunggu bateri telefon penuh, lelaki ini tertidur. Tetapi salah tetap salah. Sebab didapati duduk berdua dalam bilik hotel.

“Mereka bukan suami isteri. Jika sabit kesalahan khalwat, boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.” Tegas Jainj menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook itu.

Baca juga: Daripada tiada modal hingga dapat pinjaman RM1 juta – Ini kisah inspirasi pengarah urusan Mydin