Lelaki bergaji RM330,000 setahun letih hidup di Singapura, nak pindah Kuala Lumpur

Oleh WAN SITI AMINAH

Mempunyai pekerjaan yang stabil dengan pendapatan lumayan melebihi RM330,000 rupanya tidak menjamin ketenangan hidup seorang lelaki dari Singapura sehingga terfikir untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 35 tahun itu mengakui merasa keletihan menjalani kehidupan di Singapura dan berniat berpindah ke Malaysia berikutan lokasinya tidak begitu jauh dengan keluarga besarnya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga turut menyifatkan penghijrahan tersebut sebagai satu pertaruhan terbaik memandangkan Kuala Lumpur mungkin memberikan peluang lebih cerah kepada kerjayanya.

Perkongsian itu dibuat oleh lelaki terbabit menerusi satu hantaran dimuat naik di platform atas talian iaitu Reddit untuk meminta pendapat daripada orang ramai tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

“Saya memiliki pekerjaan yang agak stabil di dalam sektor pendidikan di Singapura. Buat masa ini, saya memperoleh pendapatan sekitar SGD$100,000 dolar Singapura setahun (kira-kira RM331,380.01).

“Tetapi sejak akhir-akhir ini, saya merasa sangat keletihan dengan kehidupan di Singapura dan sudah terfikir untuk berhijrah. Rasanya melarikan diri (berpindah) ke negara jiran adalah pertaruhan terbaik saya.

“Hal ini kerana saya sangat rapat dengan keluarga besar. Kuala Lumpur juga lokasi yang bagus untuk diduduki. Peluang juga lebih cerah lebih cerah di situ berbanding negeri lain di Malaysia,” kongsi lelaki terbabit.

Difahamkan, lelaki itu mungkin akan mencari pekerjaan dalam bidang korporat selepas berhijrah ke Kuala Lumpur namun belum membuat sebarang persediaan berikutan masih mempertimbangkan keputusannya.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, lelaki itu meminta pandangan orang ramai yang pernah berhijrah keluar dari Singapura ke Malaysia terutamanya tentang pengalaman dan penyesalan mereka.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pandangan yang sama iaitu berhijrah ke Malaysia selepas lelaki berkenaan mendapat pendapatan setara seperti di Singapura.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa lelaki itu sebenarnya hanya memerlukan cuti yang panjang untuk menghilangkan keletihan dan berhijrah selepas bersara sekiranya memang berkeinginan tinggal di Malaysia.

Baca juga: 16 pekerjaan di Malaysia ini tak perlukan ijazah tapi masih boleh dapat gaji lumayan