Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan bahawa amalan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) sudah jelas diharamkan dalam Islam dan tidak pernah diiktiraf oleh undang-undang negara.
Malaysia pula adalah sebuah negara berteraskan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, dan mana mungkin kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada amalan songsang ini, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin.
“Sejak bila negera kita membenarkan LGBT? Golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam apa-apa dasar kerajaan. Malah, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan (Seksyen 377A dan 377B) jelas memperuntukkan hukuman bagi perbuatan liwat dan hubungan sejenis,” kata beliau dalam satu kenyataan medianya.
Menurut Danish, Pas slah-olah cuba menjadi ‘juara moral’ dengan memainkan isu LGBT sedangkan negeri-negeri yang ditadbir mereka sendiri merekodkan angka kes LGBT yang tinggi.
Padahal, katanya, menurut kajian NGO serta data tidak rasmi, Kelantan dan Terengganu sering menjadi negeri dengan kes pembuangan bayi, gejala sosial, dan bahkan kes penderaan seksual yang membimbangkan.
“Jika Pemuda Pas benar-benar serius, mengapa negeri mereka sendiri masalah sosial tidak pernah surut?
“Mengapa masalah penagihan dadah di Kelantan yang diakui sendiri oleh Ketua Pemuda Pas masih di tangga teratas negara?” katanya.
Perdana Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada agenda liberal ekstrem yang bertentangan dengan syariat dan budaya kita.
Hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perbuatan yang jelas bercanggah dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan, katanya menjawab kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Mohamad Taib.
Sehubungan itu, katanya, AMK mengigatkan Pas usah menangguk di air yang keruh dengan retorik murah untuk meraih populariti politik.
“Fokuslah pada penyelesaian masalah sebenar rakyat, termasuk isu kemiskinan, pendidikan, dan penagihan dadah di negeri-negeri yang ditadbir mereka, daripada terus bermain isu sensasi yang sudah jelas pendiriannya,” katanya.