“Nampak macam berada di dalam kemusnahan selepas serangan zombie,” itulah kata salah seorang pengunjung selepas memasuki sebuah premis yang menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk membeli baju raya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, wanita terbabit berkongsi rakaman memaparkan keadaan premis yang merupakan sebuah kedai tekstil terkenal selepas ‘dimusnahkan’ oleh pelanggan.
Berdasarkan rakaman berdurasi 24 saat tersebut, terlihat beberapa helaian kain dan pakaian yang sudah terbuka daripada lipatan dibiarkan bersepah dan berselerakkan begitu sahaja di atas rak-rak pemeran.
Pelanggan turut meninggalkan kain samping yang sudah dikeluarkan daripada plastik pembungkus berserakan di atas lantai premis bersama dengan bungkusan kosong dan juga penyangkut baju.
Dalam perkongsian itu, pengunjung yang juga perakam video tampil menegur sikap pelanggan dalam membeli-belah untuk tidak sesuka-hati membuka bungkusan baju atau kain kemudian meninggalkannya di atas lantai.
Jelasnya lagi, harga pakaian ditawarkan oleh kedai tekstil yang murah itu tidak memberi makna bahawa pelanggan dibenarkan untuk menyelerakkan barangan dagangan di premis tersebut tanpa memikirkan kesannya.
“Betul, kedai Muaz ini memanglah berbaloi seperti yang digembar-gemburkan. Bajunya cantik, kain samping dan kurta juga semuanya murah. Tetapi agak-agaklah kalau nak datang serbu pun.
“Tak payahlah buka plastik bungkusan kemudian campak sahaja di atas lantai. Baju sudah kualiti premium, harga berpatutan. Tetapi yang membeli, perangainya tidaklah berapa premium. Minta maaflah,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu memaklumkan bahawa dirinya tidak meletakkan kesalahan kepada para pekerja premis ekoran tidak sempat mengemas semula timbunan pakaian ditinggalkan pelanggan.
Sebaliknya pengunjung berkenaan lebih merasa hairan dengan sikap orang ramai yang bertindak tanpa berfikir panjang dalam menyerbu premis pakaian bagi membuat persiapan sambutan perayaan Aidilfitri.
“Tengoklah longgokan ini. Kamu semua kenapa ya. Saya tidak salahkan pekerja Muaz langsung. Salahkan kamu semua yang datang pergi serbu ini. Nampak macam kita dalam ‘Zombie Apocalypse’,” ujarnya.

Baca juga: Mangsa banjir tergamam tengok rumah macam kena gempa gara-gara air naik sampai bumbung