Mangsa banjir tergamam tengok rumah macam kena gempa gara-gara air naik sampai bumbung

Oleh KIM SYAZIE

Seorang mangsa banjir di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru tergamam saat melihat keadaan rumahnya yang ibarat dilanda gempa bumi.

Lebih pilu, Nor Ahmad yang juga pengusaha katering terpaksa berputih mata selepas peralatan dan perkakasan katering yang menjadi sumber rezekinya, musnah ditenggelami air banjir.

Kelengkapan sekolah anaknya serta pakaian hari raya yang baharu dibeli turut hilang dibawa arus air banjir.

Difahamkan banjir kali ini naik sehingga mencecah bumbung rumahnya sehingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting.

“Keadaan dalam rumah macam gempa bumi. Tak boleh nak cakap apa sebab ketika itu air naik mendadak.

“Saya kelam kabut tak sempat nak naikkan semua barang dalam rumah ke tempat tinggi.

“Banyak barang dan pakaian dalam rumah yang tidak sempat diletakkan di tempat tinggi dihanyutkan banjir.

“Peralatan dan perkakasan seperti peti sejuk beku, peti ais, tong gas, dapur memasak, pinggan dan cawan habis semuanya hanyut,” katanya menurut Harian Metro.

Nor berkata, selain itu, kelengkapan sekolah anaknya seperti kasut, pakaian seragam dan barang sekolah hilang dihanyutkan air termasuk kelengkapan hari raya yang sudah dibeli berjumlah lebih RM1,000.

“Kalau jumpa dan masih boleh dibasuh dan tidak rosak, bolehlah pakai semula. Kelengkapan dan pakaian hari raya pun sama, tak tahu hanyut ke mana,” katanya lagi.

Baca juga: “Aku dan suami punyalah berjimat, sampai dekat mentua disuruhnya beli peti ais, air-cond, senang betul hati”