Seorang ejen insurans berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi rakaman memaparkan keadaan sekeliling dalam salah sebuah wad di Institut Jantung Negara (IJN).
Mana tidaknya, wanita itu memaklumkan bahawa bilik wad berkenaan sering digunakan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut.
Ejen insurans dikenali sebagai Eizzattie Sahar itu berkata bahawa lawatan ke wad tersebut dilakukan bersempena ulang tahun kelahiran negarawan berkenaan yang ke-100 sambil menunjukkan keseluruhan ruangan bilik.
Jelasnya, pesakit boleh mendiami bilik wad itu dengan harga RM900 untuk semalam dan mereka yang telah mengambil polisi insurans dengannya juga berpeluang mendapatkan potongan diskaun.
“Sempena 100 tahun umur Tun Dr. Mahathir kesayangan kita semua. Tak dapat berjumpa Tun M, melawat tempat beliau dirawat juga sudah gembira. IJN ini salah sebuah hospital yang diwujudkan bawah pemerintahan Tun M.
“Tujuannya untuk membantu dan memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan rawatan berkaitan jantung atau kardiologi,” kata ejen insurans terbabit di ruangan kapsyen video berdurasi 20 saat dikongsikan di platform TikTok itu.
Tinjauan di ruangan kapsyen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa kagum melihat keluasan dan kemewahan bilik wad tersebut selain menyifatkannya setara dengan harga dikenakan.
Ramai juga pengguna memuji sikap Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan ketujuh itu kerana lebih memilih untuk mendapatkan rawatan kesihatan di hospital tempatan berbanding luar negara.
Sekadar info, penubuhan IJN pada 1992 itu mula tercetus selepas Dr Mahathir mengalami serangan jantung waktu berusia 64 tahun pada 1989 ketika menghadiri satu majlis makan malam sebelum pulang ke rumah.
Dr. Mahathir yang merasa sangat tidak selesa di bahagian dada walaupun sudah berbaring dan berjalan bertindak menghubungi doktor sebelum disahkan mengalami serangan jantung.
Pemimpin itu kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dan dicadangkan untuk menjalani pembedahan jantung terbuka yang mana Dr Mahathir bersetuju melakukannya di Kuala Lumpur berbanding ke Amerika Syarikat.
Selepas pembedahan berjam-jam itu berjaya, doktor mula menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan fasiliti yang sesuai untuk pembedahan jantung di HKL sebelum membawa kepada penubuhan pusat jantung di Kuala Lumpur.
Baca juga: ‘Dia kata saya kahwin isteri tua, hina ibu saya’ – Harris Alif sedia bertarung di gelanggang