Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan pendirian untuk menolak sebarang usaha menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam serta norma masyarakat di Malaysia.
Ini adalah susulan laporan media berhubung penganjuran program yang melibatkan komuniti LGBT dan usaha mempromosikan gaya hidup berkenaan.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti yang didakwa mempromosi, menyokong atau menormalisasikan gaya hidup tersebut, khususnya yang melibatkan masyarakat Islam.
MAIS turut mengingatkan umat Islam agar tidak terlibat dalam mana-mana program atau aktiviti yang boleh dikaitkan dengan agenda normalisasi LGBT.
Ia disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam, undang-undang sedia ada serta nilai budaya dan norma masyarakat di negara ini.
Dalam kenyataan sama, MAIS menyeru masyarakat Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran agama dan tidak mudah terpengaruh dengan pengaruh luar yang boleh menjejaskan akhlak serta moral.
Individu yang terlibat pula dinasihatkan untuk mendapatkan bimbingan serta menyertai program pemulihan yang dilaksanakan oleh MAIS, pihak berkuasa agama atau pertubuhan berkaitan.
MAIS juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta agensi kerajaan lain bagi membendung penyebaran pengaruh berkenaan dan memperkukuh usaha pendidikan, dakwah dan pembangunan nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: Jualan borong dan runcit terus rancak, SARA RM100 antara pemangkin