Gugur jantung seorang anak apabila diberitahu telefon pintar yang dihadiahkannya kepada ibu digunakan untuk berhubung dengan lelaki bukan mahram.
Hati sang anak semakin hancur setelah mendapat tahu bahawa lelaki berkenaan sebenarnya adalah suami orang yang sudah mempunyai lima orang anak.
Menurutnya, perkara terlarang tersebut akhirnya terbongkar apabila adiknya mulai perasan akan perubahan ibu mereka yang bergelar ustazah itu selepas diberikan telefon pintar.
Khuatir dirinya bakal hilang pertimbangan, anak lelaki kepada ustazah itu membuat keputusan untuk meminta cadangan serta pendapat daripada pengguna media sosial.
Berikut kami kongsikan luahan sang anak yang merasa runsing dan memerlukan bimbingan untuk menyelesaikan masalah keluarganya itu.
“Berderau darah aku malam ini. Aku baru nak mula lelapkan mata. Tiba-tiba adik aku hantar pesanan di aplikasi Whatsapp, “abang, adik rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan ibu”. Maka dia pun mulakan cerita dari A sampai Z. Rupa-rupanya mak aku berhubungan dengan kawan sekolah dia dulu.
“Berhubung bukan sekadar berbual kosong. Siap on-call setiap hari, pagi dan petang. Adik aku periksa senarai panggilan. Walaupun mak tak simpan nombor itu, tetapi adik perasan nombor yang sama selalu telefon. Sampai adik aku ada terbaca, lelaki itu panggil mak aku sayang. Pehhhhh.
“Mak aku ini orang baik, ustazah. Tiap minggu pergi majlis ilmu. Nak kata sunyi, adik aku ada kat rumah. Seorang lagi adik yang dekat universiti pun, selalu telefon dia. Aku pula tiga hari sekali akan telefon. Aku dah tak tau nak buat apa lagi.
“Adik aku siap bagi akaun Facebook jantan itu. Anak dah lima orang. Duduk pun tak jauh dengan aku. Allah, tak boleh tidur aku malam ini. Karang ada juga gegar pintu rumah orang tengah malam. Tolong aku weh. Apa patut aku buat, sebelum aku hilang pertimbangan.
“Aku sebenarnya dah lama syak perkara ini, semenjak aku belikan telefon pintar untuk mak aku. Tetapi aku pilih untuk husnuzhon (bersangka baik) sahaja.
“Tolong sangat, aku merayu. Tunjukkan jalan pada aku.” Pohon lelaki berkenaan yang hilang arah tuju untuk mencari jalan keluar daripada masalah tersebut.
Baca juga: Aksi Tengku Muhammad ‘main sembunyi’ curi perhatian rakyat Sabah – “Comel bah!”