Mak, anak dan menantu didenda RM1,000, mengaku bersalah gaduh di Pasar Melor

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 setiap seorang terhadap lima wanita dari dua buah keluarga atas kesalahan melakukan gaduh gempur di depan Pasar Melor, minggu lalu.

Difahamkan, hukuman denda tersebut dijatuhkan hari ini selepas kelima-lima tertuduh membuat pengakuan bersalah susulan pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, lapor Kosmo.

Tertuduh terlibat dalam kes tersebut adalah Rozita Ramli, 47, anaknya, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantu, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, selain dua beradik iaitu Siti Sara Suaini, 30, serta Siti Mastura yang berusia 28 tahun.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima wanita itu didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor, Kota Bharu yang merupakan suatu tempat awam sekitar jam 2.30 petang pada 25 Disember lalu,

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Terdahulu, pihak pendakwa memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh kerana siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di platform media sosial TikTok.

“Situasi itu agak membimbangkan apabila pertikaian di media sosial dibawa ke alam realiti sehingga mencetuskan keganasan fizikal dan mengganggu ketenteraman awam. Pergaduhan itu bukan sahaja melibatkan individu secara bersendirian.

“Sebaliknya ia membabitkan ahli keluarga iaitu ibu, kakak ipar dan adik-beradik. Jika benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka mereka sepatutnya mendaftar dalam sukan yang diiktiraf dan berdisiplin.

“Seperti Fury Championship ataupun kejohanan sukan tempur berdaftar apabila kekuatan diuji mengikut peraturan, dipantau pengadil dan dihormati masyarakat,” kata Muhammad Nadzir memetik laporan Kosmo.

Manakala peguam, Siti Atikah yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman minimum mengambil kira video perbuatan mereka tular di media sosial dan sudah memberikan pengajaran kepada kelima-lima wanita itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Rais Imran menasihati kesemua tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama dan menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman selepas ini tanpa sebarang kacau-bilau.

“Penduduk di Kelantan terkenal dengan budaya dan berbudi bahasa tinggi. Tidak elok Kelantan jadi sohor (terkenal) dengan perkara seperti ini. Jika ada masalah, selesai cara baik.” Ujar Rais Imran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada setiap tertuduh serta penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut namun kelima-lima wanita itu difahamkan sudah menjelaskan bayaran ditetapkan.

Baca juga: Laluan Cameron Highlands-Gua Musang boleh dilalui semula, caj RM5 sehala