Anwar lulus peruntukan segera RM2 juta untuk MUKMIN, mahu lahir lebih ramai pemimpin masa depan

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM2 juta bagi menyokong usaha pertubuhan MUKMIN membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian serta menceburi bidang strategik.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menghadiri majlis pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) dan penyampaian Mukmin Future Leaders Scholarship (MFLS) di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang.

Menurut Anwar, beliau menghargai usaha MUKMIN dalam merangka pelan transformasi yang bertujuan mengangkat martabat masyarakat India Muslim serta memperkukuh sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Katanya, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan aktif rakyat, keberanian menyuarakan pandangan dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan melahirkan generasi muda yang menguasai bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, sains dan teknologi baharu bagi menghadapi cabaran masa depan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pegangan akidah, akhlak, budaya dan nilai kemanusiaan.

“Kita mesti terus mengakar ke bumi, teguh pada akidah, akhlak, budaya dan nilai kemanusiaan. Kemajuan tanpa nilai akan kehilangan arah,” katanya.

Beliau berkata konsep Karamah Insaniah juga perlu terus dijadikan asas dalam membina masyarakat yang saling menghormati tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, setiap komuniti boleh memperjuangkan kepentingan masing-masing, namun ia tidak boleh dilakukan dengan menafikan hak atau merendahkan martabat kaum lain.

Sehubungan itu, Anwar berharap bantuan RM2 juta yang disalurkan dapat dimanfaatkan bagi memperluaskan peluang pendidikan dan melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan dalam kalangan masyarakat India Muslim.

Beliau yakin generasi yang memiliki ilmu pengetahuan tinggi serta berpegang teguh kepada nilai murni mampu mengangkat martabat masyarakat dan memacu Malaysia ke arah kejayaan.

Baca juga: Zahid mungkin terus sokong Anwar walau menang PRN Negeri Sembilan bersama PN – KJ