Sudah menjadi lumrah orang berniaga, jualan tidak akan selamanya laris dan sentiasa dipenuhi pelanggan.
Begitulah situasi dihadapi ibu kepada Muhammad Firdaus Abdul Razak, yang mana Laksa Kedah dijual ibunya, Faizah Mohd Iazit, 47, kembali suram, tidak seperti selepas viral ketika bulan Ramadan.
Bercerita kepada mStar baru-baru ini, Firdaus atau lebih mesra disapa sebagai Daus berkata laksa ibunya kini sering tidak habis dijual memandangkan tapak jualan sudah berpindah di hadapan Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang.
“Selepas viral mengenai jualan laksa ibu saya dekat bazar di Teluk Ayer Tawar masa bulan puasa tu memang setiap hari habis.
“Sekarang bazar tu dah tutup jadi mak kembali berniaga di tempat biasa seperti sebelum ni dekat tepi jalan. Setiap pagi sebelum subuh mak akan sediakan 50 bungkus untuk dijual.
“Ada hari beberapa bungkus saja dapat dijual, ada hari separuh dapat dijual. Mak tak pernah merungut cuma bila tak habis jual dia banyak temenung,” ujar Daus.
Menurut Daus yang kini bekerja sebagai pembantu jualan kereta di Pulau Pinang, walaupun poster telah dipasang dan harga laksa kekal RM6 sebungkus, namun seolah-olah tidak ramai nampak gerai ibunya.
Bagaimanapun, seperti yang dilakukan sebelum ini, setiap bungkus laksa dan bihun goreng yang tidak habis dijual akan disedekahkan kepada jiran atau orang lain.
Berdepan situasi seperti ini, ibunya ada meluahkan hasrat untuk menyewa premis dengan harapan lebih mudah dilihat orang ramai.
“Walaupun gerai mak tu tak tersorok sebab betul-betul tepi jalan, mungkin masih ramai yang perasan kewujudannya. Ramai pelanggan yang membeli di bazar dulu tak tahu lokasi gerai mak.
“Mak ada beritahu nak sewa kedai tapi saya sendiri tak mampu nak tampung sewa. Masih banyak modal nak digunakan untuk perkara lain.
“Tapi saya sentiasa pujuk mak dengan bagi semangat dan yakinkan dia yang laksanya memang terbaik dan ramai patut cuba. Tapi macam mana pun, harapan saya suatu hari nanti nak bagi mak sewa kedai juga,” ujarnya.
Baca juga: Nak ikut trend, wanita menyesal makan ‘donut peach’ lepas masuk kecemasan, minta semua hati-hati