Makan ikan harga cecah RM3,000, wanita tak kisah bayar lebih asalkan sedap

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita berkongsi pengalamannya menikmati ikan yang hanya boleh didapati di Sibu, Sarawak di media sosial baru-baru ini.

Menurut video yang tular di TikTok, wanita itu mendakwa ikan termahal yang pernah dinikmatinya itu bernilai lebih SGD$1000 (RM3,314).

Katanya, ikan jenis Empurau tersebut sangat terkenal ekoran rasa yang sangat enak dan teksturnya yang kenyal.

Hal ini kerana, rasa istimewa itu dikatakan berpunca daripada sumber makanan ikan itu yang terdiri daripada buah-buahan.

“Adakah anda akan membayar lebih daripada SGD$1000 untuk seekor ikan? Ini ikan Empura atau dalam bahasa Cina kita panggil ‘Wang Bu Liao’.

“Saya memakannya semasa percutian saya di Sibu, Sarawak. Ikan ini mahal kerana ianya amat sukar didapati,” kata @kerrynlee.

Ikan yang ditangkap dari hulu sungai Rajang itu dijual dengan harga RM800 (S$241) hingga RM1,300 (S$393) sekilo di Malaysia.

‘Wang Bu Liao’ membawa maksud tidak boleh dilupakan.

Persoalan utama, adakah berbaloi untuk membelanjakan wang sebanyak itu untuk ikan yang tidak boleh dilupakan?

Baca juga: Warga emas sertai demonstrasi tuntut pengeluaran KWSP, lelaki khuatir rakyat dipergunakan