Negara baru-baru ini dikejutkan dengan pengesanan dua kes pertama di Malaysia melibatkan penyakit berjangkit, cacar monyet (monkey pox).
Oleh sebab itu, orang ramai khususnya di negeri Perak dinasihatkan untuk segera pergi ke klinik atau hospital berhampiran jika mengalami gejala penyakit tersebut.
Peringatan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan.
Sivanesan memaklumkan bahawa antara gejala cacar monyet yang dapat dikenal pasti adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular.
Ruam makulapapular ini kebiasaannya akan bermula di bahagian muka kemudian menyebar ke tapak tangan, tapak kaki dan diikuti anggota-anggota tubuh yang lain.
Memetik laporan Berita Harian, Sivanesan meminta penduduk untuk tetap berjaga-jaga meskipun masih tiada sebarang laporan melibatkan cacar monyet di Perak.
“Penyakit ini berjangkit dan perlu dikuarantin sekiranya positif. Saya harap orang ramai berwaspada dan lakukan saringan kesihatan jika terdapat tanda-tanda yang telah dinyatakan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan bahawa terdapat dua kes positif jangkitan monkey pox dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama dikesan melibatkan seorang warga asing yang bekerja di sini sejak April 2022.
Menurut Radzi, pesakit lelaki itu mula mengalami gejala pada 19 Julai dan lepuh mula muncul pada 23 Julai sebelum dibebaskan daripada isolasi pada 10 Ogos.
Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes cacar monyet pada 6 Julai lalu sebelum kembali ke Malaysia empat hari kemudian.
Radzi turut memaklumkan bahawa kes kedua cacar monyet pula membabitkan seorang lelaki tempatan yang merupakan kontak rapat kepada kes pertama.
“Pesakit mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak dan disahkan positif pada 29 Julai.” Katanya.
Pesakit yang dijangkiti cacar monyet juga mempunyai kemungkinan untuk mengalami kesakitan di badan atau sendi, kekejangan otot dan bengkak kelenjar limfa.