Pastinya ada masa pelanggan masuk kedai sekadar untuk cuci mata atau melihat terlebih barangan dahulu sebelum membuat keputusan untuk beli.
Sebuah kedai runcit di Barcelona, Sepanyol menampal notis memaklumkan pelancong yang masuk tanpa membeli barang akan dikenakan bayaran €5 (RM25).
Menurut Oddity Central, kedai Queviures Murria itu telah beroperasi sejak 1898 dan merupakan salah satu lokasi popular di Barcelona.
Apa yang menarik kedatangan beratus-ratus pelancong setiap hari adalah gaya vintaj dan reka bentuk tradisional kedai tersebut.
Menurut salah seorang pengurus, Toni Merino, ramai pelancong memasuki kedai tanpa menyapa pekerja, lalu merakam gambar sebelum keluar tanpa membeli apa-apa.
Disebabkan itu, dia bersama rakan sekerja membuat keputusan untuk mengenakan bayaran kepada orang ramai untuk menghalang mereka berbuat demikian.
“Idea itu bermula sebagai jenaka tetapi apabila kakitangan dan pelanggan kami semakin tidak selesa, kami memutuskan untuk melaksanakannya,” kata pengurus tersebut.
Selepas memaparkan notis bayaran di hadapan kedai, mereka berjaya menghalang pelancong yang masuk tanpa membeli barang.
Tambahan pula sekarang ramai yang masuk ke kedai cantik untuk kandungan di media sosial mereka sahaja.
Ini pastinya menyebabkan mereka yang ingin membeli barang merasa tidak selesa apabila dirakam tanpa disedari.
Baca juga: Gempar Siti Kasim hampir dibom, polis sahkan bahan letupan ditemui di tayar kereta