Seorang pelancong asing meluahkan rasa kagum melihat cara rakyat Malaysia menghabiskan malam hujung minggu mereka, berbeza sekali dengan apa yang lazim berlaku di negaranya, United Kingdom.
Dalam satu hantaran tular di Instagram oleh laman @the_boomeranggg_, pelancong itu berkongsi rakaman pendek suasana santai sekumpulan rakyat Malahsia menikmati masa bersama keluarga di dataran awam sekitar tengah malam.
“Inilah rupa malam hujung minggu di Malaysia pada waktu tengah malam. Tiada arak, tiada kelab malam. Hanya suasana tenang bersama keluarga dan insan tersayang,” tulisnya dalam kapsyen.
Klip berdurasi beberapa saat itu memperlihatkan kanak-kanak bebas berbasikal, manakala orang dewasa bersiar-siar menaiki e-bike atau duduk berkelah di atas rumput.
Video berkenaan telah meraih lebih 150,000 tanda suka sejak ia dimuat naik.
Pelancong berkenaan turut berseloroh bahawa jika suasana serupa berlaku di UK, kemungkinan ia akan menjadi huru-hara dengan cepat.
Menariknya, warga maya tempatan bersetuju dengan pemerhatiannya.
Ramai yang meninggalkan komen menyatakan bahawa keseronokan tidak semestinya datang daripada alkohol, dadah atau mabuk, sebaliknya boleh dinikmati dengan cara yang lebih sihat dan beradab.
Beberapa pengguna turut mencadangkan lokasi-lokasi lain yang boleh dikunjungi pelancong itu untuk melihat lebih banyak aktiviti riadah hujung minggu yang bersifat kekeluargaan dan penuh nilai murni.
Baca juga: Tanpa sebarang ‘loan’, anak muda ini buktikan mampu raih RM12K sebulan hasil bertani