Melopong tengok resit, tular kedai di ibu kota caj RM16 untuk secawan milo ais

Oleh KIM SYAZIE

Sejak semalam tular resit mendakwa sebuah kedai makan di ibu kota mengenakan harga sehingga RM16 untuk secawan milo ais.

Belum pun reda dengan isu secawan teh O ais yang dijual pada harga RM11, timbul pula isu terbaru ini sehingga menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Menurut Kosmo!, kejadian berlaku di sebuah kedai makan yang terletak di bangunan yang popular sebagai lokasi penganjuran acara terbesar termasuk peringkat antarabangsa di negara ini iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Gambar resit bayaran yang tersebar di Facebook itu memaparkan harga secawan milo ais adalah RM16, manakala dua lagi pilihan menu pencuci mulut masing-masing berharga RM7 dan RM11.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyifatkan kedai makan itu sememangnya menyasarkan pelanggan daripada golongan T20.

“Situ (pelanggan) untuk yang pangkat Datuk, Datuk Seri, Datin. Kalau rakyat marhaen, memang gigit jari la nak bayar,” kata Azizi.

“Sewa mahal kawasan situ, logiklah air mahal. Lepas itu memang bukan tahap B40 atau M40 nak lepak situ pun. Itu semua tempat T20 sahaja. Baik makan kat kedai tepi sungai, lagi sedap,” kata Nurain.

Dalam pada itu, ada beberapa netizen lain berseloroh menyifatkan peniaga menggunakan satu kilogram milo untuk hasilkan secawan minuman bersusu tersebut.

“Dia bancuh milo 1kg sekali minum, itu yang mahal. Tak campur susu tin lagi,” seloroh Rahimah.

Baca juga: Jual nasi lemak hanya RM1, peniaga dedah mampu jual hinga 1,700 bungkus sehari