Walaupun keadaan ekonomi sekarang yang ada masa tidak stabil, ditambah pula kenaikan harga barang basah, masih ada peniaga yang sanggup jual makanan pada harga murah.
Begitulah juga buta peniaga nasi lemak, Safiah Azlan yang pada mulanya menjual 400 bungkus nasi lemak sehari kini mampu menjual hingga 1,700 bungkus.
Harganya tetap RM1 sebungkus, Safiah pada masa sama memaklumkan dia menceburi bidang jualan makanan sejak 14 tahun lalu.
Memetik Harian Metro, saban minggu permintaan untuk nasi lemak RM1 semakin melonjak kepada 700 hingga 800 bungkus.
“Sekarang jualan mencecah 1,500 hingga 1,700 bungkus setiap hari dan bagi menampung permintaan saya menggunakan 80 hingga 100 kilogram beras setiap hari.
“Walaupun margin keuntungan kecil namun saya tetap berpuas hati kerana dalam tempoh tujuh jam atau kurang dia mampu menghabiskan jualan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tetapkan had penjualan untuk jamin rasa
Bagi menjamin nasi lemak yang dimasak sentiasa dalam keadaan panas, Safiah menggunakan kaedah memasak secara berperingkat bermula 3 petang hingga ke malam.
“Permintaan boleh mencecah hingga 2,000 bungkus sehari namun untuk menyediakan dalam jumlah itu amat meletihkan dan saya buat masa ini mengehadkan sehingga 1,700 bungkus sahaja.
“Alhamdulillah, walaupun letih kerana perlu menyediakan nasi lemak dalam jumlah yang banyak namun saya berpuas hati kerana maklum balas pelanggan amat positif terhadap harga dan rasa makanan.
“Selain ‘menu killer’ nasi lemak RM1 yang sudah mendapat sambutan ramai, saya kemudian memperkenalkan hidangan barat hanya serendah RM5.
“Tidak cukup dengan itu, mi kari dan laksa juga saya jual dengan harga RM5 namun kuantiti bahan di dalam menu itu saya lebihkan bagi memuaskan hati orang yang memakannya,” katanya.
Niat mahu bantu orang ramai
Dalam pada itu, Safiah memaklumkan dia menjual pada harga rendah agar orang ramai dapat menikmati nasi lemak pada harga lebih murah.
“Saya masak dengan seikhlas hati, saya jaga rasa dan bahan yang dimasak supaya menepati cita rasa pelanggan dan ia tidak boleh dibuat ala kadar.
“Walaupun harga yang dijual murah namun bahan yang diletakkan di dalam masakan adalah sama seperti yang dijual dengan harga RM3 atau RM4 sebungkus,” katanya.
Baca juga: Pelanggan tak sangka dapat minum Teh O Ais ‘kayangan’, gigil terpaksa bayar RM11