Memberontak bila kemahuan tidak dipenuhi, lelaki berubah lepas tahu diri hanya anak angkat

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila perhatian daripada ibu bapa digantikan dengan kemewahan maka jangan terkejut jika anak-anak mula buat perangai bila kemahuan tak dipenuhi.

Buat lelaki ini dia tidak menyangka hidupnya akan berubah 360 darjah selepas mengetahui status dirinya dalam keluarga sendiri.

Menurut Panorama, lelaki dikenali sebagai Akmal (bukan nama sebenar), 35, merupakan anak tunggal dan sering ditatang bagai minyak yang penuh.

Tambah Akmal dia tidak pernah menyangka bahawa dia hanyalah anak angkat yang diserahkan oleh keluarga kandung sejak bayi lagi.

“Saya diserahkan oleh keluarga kandung yang merupakan sepupu kepada ibu (ibu angkat) selepas sebulan dilahirkan.

“Sepanjang membesar, saya tidak pernah tahu tentang perkara tersebut.

“Namun perkara itu terbongkar disebabkan satu insiden yang berlaku semasa di sekolah menengah,” katanya seperti dipetik Kosmo.

SIapa menyangka kerana itulah dia berubah ke arah kebaikan dan belajar untuk menghargai segalanya.

Kongsi Akmal, sepanjang membesar, dia memang dimanjakan dengan wang ringgit memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan usahawan yang berjaya.

Apabila perusahaan mereka semakin maju maka kebendaan mula menjadi pengganti perhatian buat Akmal.

“Kehidupan saya pada masa itu boleh dikatakan seperti filem Anakku Sazali yang mana jika keinginan saya tidak dipenuhi, saya akan memberontak.

“Malah, kalau saya menipu untuk mendapatkan wang lebih, ibu dan ayah akan beri sahaja tanpa usul periksa,” ujarnya.

Sikapnya menjadi semakin teruk di sekolah menengah apabila dia menjadi pembuli dan ibu bapa angkatnya itu sering dipanggil ke sekolah.

Bukan hanya membuli, dia juga sentiasa menimbulkan kekacauan, malah merosakkan harta benda guru.

Apabila keadaan sudah tidak terkawal maka ibu bapanya mula mendisiplinkan Akmal dengan cara hukuman, potong duit belanja dan pelbagai cara lain.

Namun pada ketika itu sudah sukar untuk melentur buluh, hingga akhirnya kesabaran si bapa mula hilang dan pada ketika itulah terbongkar bahawa Akmal hanya anak angkat.

“Ayah memang marah besar kerana saya ditangkap merosakkan kereta guru-guru.

“Pulang sahaja dari sekolah, kami bergaduh dan ayah meluahkan segalanya bahawa saya merupakan anak angkat.

“Saya terkejut dengan kata-kata ayah dan awalnya tidak percaya. Pada hari itu juga ayah mengheret saya ke rumah ibu bapa kandung untuk membuktikannya,” kongsi Akmal.

Hukuman terbesar dilakukan oleh bapanya adalah untuk mengembalikan Akmal kepada keluarga kandung yang hidup serba kekurangan.

Pada awalnya, Akmal diserahkan kerana keduanya tidak mampu untuk menjaganya yang merupakan anak kelima dan paling bongsu dalam keluarga itu.

Kehidupan Akmal pada ketika itu berubah 100 peratus. Daripada tinggal di rumah banglo, dia kini menetap di rumah kayu di kampung.

Ibu bapa angkatnya memang tidak ambil tahu tentang Akmal dan membiarkan dia belajar hidup susah, manakala Akmal pula membenci dan malu dengan keluarga kandung sendiri.

Namun, kekurangan itu juga yang menarik dia berpijak di bumi yang nyata. Dia tidak dapat memberontak seperti dahulu kerana ketegasan abang-abang dan ibu bapa kandungnya.

“Pernah saya meninggikan suara dengan ayah kandung, tetapi selepas itu melayang penampar dari abang, hal itu membuatkan saya tidak lagi berani untuk melawan mereka.

“Ketika di sekolah baharu pula, saya menjadi mangsa buli kerana miskin, baju lusuh dan beg juga penuh dengan jahitan tampal,” ceritanya.

Selepas setahun tinggal bersama keluarga kandung, Akmal mula insaf dan menyesal dengan sikapnya selama ini.

Akhirnya ibu bapa angkat Akmal membuat keputusan untuk mengambilnya kembali setelah memilih untuk memantau dari jauh sahaja.

Disebabkan kejadian itu, Akmal menjadi insan yang bertanggungjawab, anak yang patuh dan tidak lagi memberontak.

Dia juga kerap pulang ke rumah keluarga kandung di kampung dan menjenguk ibu bapa dan adik beradik di sana.

Kini selepas bekerja, dia turut membantu dan berbakti kepada kedua-dua keluarganya.

Baca juga: Ibu leka main TikTok, tak sedar anak dah korek pampers calit tahi di dinding rumah