Mendaki pakai ‘suit’ dan kasut kulit, rupanya ini tujuan lelaki Jepun tawan puncak Kinabalu

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman video memaparkan pendaki dari Jepun yang berpakaian uniform pejabat untuk mendaki tular di media sosial baru-baru ini.

Menarik perhatian, tindakan lelaki tersebut disifatkan sebagai luar biasa kerana belum pernah ada pendaki yang sanggup berpakaian seperti itu.

“Sekiranya anda terlepas, (ada) lelaki Jepun mendaki Gunung Kinabalu sambil mengenakan tiga helai suit,” ciap seorang pengguna Twitter.

Disapa penduduk tempatan yang merakam video tular tersebut, lelaki Jepun itu sempat berbual sebelum meneruskan pendakian.

Dengan berseloroh, dia berkata bahawa dia perlu ke puncak gunung dengan segera untuk menghadiri mesyuarat perniagaan.

Rupa-rupanya, perilaku aneh lelaki yang mendaki dengan lengkap berpakaian sut itu adalah satu teknik ‘marketing’ semata-mata.

Menjengah ke akaun Facebook milik Nobutaka Sada itu, dia mempromosikan set sut yang sesuai dipakai di pelbagai cuaca dan keadaan.

Mempunyai akaun Youtube, Nobutaka sering memuat naik video yang memaparkan dirinya melakukan pelbagai aktiviti menggunakan sut itu.

Saluran Youtube itu turut mempunyai pautan yang disambungkan kepada laman web untuk menempah temujanji sesi fitting ‘SADA Order Suit’.

Berjaya tawan puncak Kinabalu, nampaknya percaturan lelaki Jepun itu turut berjaya ‘menawan’ hati rakyat Malaysia.

Baca juga: Tak sangka penduduk di tiga bandar ini diiktiraf paling bahagia di Malaysia