Dikala ramai berlumba-lumba menunjuk kekayaan dengan rumah mewah dan kenderaan mencecah jutaan ringgit, ada juga yang memilih jalan berbeza.
Ada yang lebih selesa melabur di tempat yang memberi ganjaran berpanjangan bukan dalam bentuk harta, tetapi dalam bentuk pahala.
Inilah yang disebut sebagai saham akhirat, pelaburan yang terus mengalir pahalanya, walaupun selepas pemiliknya tiada lagi di dunia.
Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad mendedahkan kos pembinaan semula rumah pusaka milik keluarganya bagi dijadikan madrasah mencecah hampir RM500,000 lapor Kosmo! Online.
Dalam masa sama, dia terbuka menerima sumbangan orang ramai untuk bersama membangunkan projek di tanah keluarga di Mambau, Negeri Sembilan.
“Sekarang ini saya biayai sendiri tempat pembinaan itu tetapi insya-Allah nanti saya akan buka kepada sesiapa yang ingin turut serta (menyumbang).
“Apabila saya uar-uarkan saya mahu buka madrasah ramai yang mesej saya mahu turut serta,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Idea untuk membina madrasah itu adalah untuk memenuhi permintaan ibunya, Rohaizah Abdul Latiff yang ingin mencari ganjaran pahala berterusan.
“Ibu saya sering tanya mengenai madrasah sebab sekarang sudah lapan tahun dia menjalani rawatan dialisis.
“Dia juga risau sebab sudah tua jadi dia mahu buat bekalan untuk akhirat. Saya tengah cuba secepat mungkin untuk memulakan pembinaan madrasah ini.
“Impian saya kalau boleh mahu ibu lihat proses pembinaan sendiri. Jika umur dia panjang, saya nak dia tengok sampai madrasah itu didiami pelajar dan siap sepenuhnya,” kongsinya.
Baca juga: Bella Astillah terharu dengan layanan Tun Hasmah, bakal buat persembahan bersama tidak lama lagi