Datuk Seri Najib Razak mengumumkan yang dia menolak tawaran tanah kediaman daripada kerajaan yang dikatakan bernilai RM100 juta selepas dibelasah teruk di media sosial, kata tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin.
Menurutnya, pengumuman Najib itu juga ekoran kebimbangan akan mengancam nasib Umno-BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.
“Amat jelas yang pengumuman ini dibuat bagi menyelamatkan Umno-BN dalam pengundian esok walaupun Najib menafikannya.
“Najib menonjolkan hakikat dia menolak tawaran walaupun layak tetapi senyap tentang membuat permohonan.
“Daripada laporan media, termasuk daripada Parlimen, segala-galanya bermula dengan dia membuat permohonan,” katanya hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu menambah jika rakyat tidak selesa, dia boleh menarik balik permohonan kediaman seperti dibenarkan di bawah Akta Kerajaan pada 2018.
“Permohonan ini sebenarnya berdasarkan Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980, akta berkenaan sudah dipinda dan diubah suai serta diperbaiki pada tahun 2013,” kata Najib.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berpendapat kenyataan Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta tahun lalu itu perlu dicermati.
“Kita kena terus berwaspada takut-takut apabila tidak ada sesiapa melihat atau yakin dengan kenyataan Najib ini, tiba-tiba muncul berita bahawa surat pindah hak milik aset berkenaan telah ditandatangani di antara pemilik dan pemohon.
“Maaf kalau saya kata, saya amat yakin yang pengumuman ini berkait rapat dengan pengundian PRN Melaka esok,” katanya.
Beliau juga berkata, Najib yang membantu kempen Umno-BN merupakan presiden de facto Umno dan panglima perang Umno-BN dalam PRN Melaka menggantikan Ahmad Zahid Hamidi yang ‘bercuti sakit’.
“Apa tidaknya, Najib memohon dan mendapat kebenaran mahkamah meninda tempoh pemulangan sementara pasport antarabangsanya untuk ke Singapura supaya boleh berkempen di Melaka,” tambah Abdul Kadir.