Kejadian kanak-kanak meminta duit daripada orang tidak dikenali dilihat semakin kerap berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan ramai, terutama berkaitan aspek keselamatan, eksploitasi serta kebajikan kanak-kanak terbabit.
Tular di media sosial mengenai kehadiran seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa sering meminta wang di sekitar Lumut dan Manjung, Perak sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Menerusi beberapa hantaran di Threads, ada pengguna mendakwa kanak-kanak terbabit dilihat bergerak seorang diri dan menghampiri kenderaan di kawasan awam untuk meminta duit belanja.
Seorang pengguna Threads. Noralya mendakwa kanak-kanak itu turut meminta orang ramai menyimpan barangan di dalam bonet kereta sebelum meminta wang.
“Huaaa kita pun terkena, dia ikut kita simpan barang dalam bonet. Sampai nak masuk kereta tekan-tekan minta duit.
“‘Nak duit belanja, nak duit belanja’. Kita memang tak bagi sebab takut kalau bagi nanti dia buat pada orang lain pula,” tulis individu berkenaan.
Pengguna sama turut meluahkan rasa risau terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut sekiranya terus berada di kawasan awam tanpa pemantauan.
Dalam hantaran berasingan, seorang lagi pengguna, Nur Syazwen mendakwa dia pernah melihat kanak-kanak itu bersama seorang wanita dipercayai neneknya.
“Perasan tak ada seorang budak perempuan dengan nenek dia. Dia duduk belakang kereta orang dan bila orang keluar dia paw duit ‘mahu belanja’.
“Lepas dapat duit dia bagi dekat nenek dia dan nenek dia suruh pergi ambil lagi duit dekat kereta lain,” dakwanya.
Menurut individu tersebut lagi, dia terkejut melihat kanak-kanak itu bergerak sendirian di kawasan sibuk.
“Terkejut weh kalau seorang diri. Masa nak masukkan barang dalam kereta pun dia datang minta duit,” tulisnya lagi.
Baca juga: Masjid tampil kreatif, buat tayangan Piala Dunia tarik minat jemaah