Penyanyi, Noh Salleh mengucapkan rasa syukur apabila pembedahan tulang belakang berisiko tinggi dijalaninya di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) pada Isnin lalu berjalan dengan lancar.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, Noh memaklumkan lokasi pembedahan itu berada betul-betul di belakang pita suaranya sehingga mendatangkan risiko tinggi kepada punca rezekinya sebagai penyanyi.
Pembedahan itu bagaimanapun perlu dijalankan untuk merawat masalah mengganggu saraf yang menyebabkan Noh mengalami sakit belakang kronik selain tangannya juga terasa kebas.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik nama sebenar Mohammad Noh Salleh Sadeli itu turut memuat naik gambar memaparkan parut dipercayai kesan pembedahan yang dijalaninya di kawasan tengkuk.
“Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 dan C7 yang menyebabkan ‘nerve impingement’, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai ganggu nak angkat baby Tara (anak).
“Proses pembedahan berjalan lancar dan dikendalikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin. Lokasi pembedahan betul-betul di belakang pita suara aku. Jadi risiko besar ke pada organ yang jadi punca rezeki aku.
“Tetapi Allah jaga, Alhamdulillah,” kata penyanyi berusia 40 tahun itu yang turut berkongsikan gambar bersama petugas perubatan serta rakan-rakan yang melawatnya di hospital dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran sama, Noh yang juga anggota kumpulan Hujan itu turut memohon pengikutnya mendoakan agar proses pemulihannya dipermudahkan dan keadaan kesihatannya kembali normal dengan secepat mungkin.
Penyanyi itu juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan, ahli keluarga, petugas perubatan ekoran merawatnya sepanjang berada di hospital serta rakan-rakan kerana melawatnya.
“Risau? Ya. Sebab ada persembahan pada hari Sabtu ini. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan, keluarga dan rakan-rakan. Terima kasih kepada Abah kerana hantar dan ambil di hospital.
“Terima kasih Mummy dan Yaya sebab tengokkan Tara dan Athira dekat rumah. Budak-budak Hujan dan Suffren, Terima kasih sangat-sangat kerana datang berikan kejutan.” Ujarnya lagi.
Baca juga: “Biar dia rasa susah cari duit” – Aliff Syukri ajar anak kedua realiti berniaga