Noor Kumalasari pernah murung, dedah Anita Sarawak jadi penyelamat

Oleh MAISARAH AISYA

Bekerja dalam industri seni bukanlah suatu perjalanan yang mudah, penuh dengan cabaran dan dugaan yang sering kali datang tanpa diduga.

Pelakon dan penyanyi perlu sentiasa bersedia menghadapi tekanan dari pelbagai pihak, termasuk kritikan tajam, kecaman, serta perbandingan dengan artis lain.

Noor Kumalasari mengakui pernah melalui detik gelap dalam hidupnya, malah dia mengalami depresi akibat kecaman hebat yang diterima ketika mula menceburi dunia seni.

Tidak hanya itu, dia mengimbas kembali insidien yang berlaku sekitar tahun 1970-an, dia dikecam an dituduh meniru gaya serta penampilan kakaknya Anita Sarawak lapor Kosmo Online.

Noor Kumalasari mendedahkan perkara tersebut dalam sesi audio siar Tanah Berdaulat TV kendalian Syahril A. Kadir.

“Saya dikritik teruk dan dikatakan tak boleh menyanyi. Suara saya juga dikatakan sama macam Anita dan hendak tiru kakak saya itu sehingga saya alami kemurungan.

“Ketika berada di Singapura, saya hubungi Anita untuk mengadu. Dia nasihatkan saya, kalau hendak jadi orang seni, kena telan semua kritikan terutama sekali penyanyi.

“Anita suruh saya ambil segala kritikan itu sebagai cabaran untuk memperbaiki diri,” katanya dalam sesi audio siar.

Jelasnya Anita kini memilih untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang dan bahagia sebagai orang biasa, jauh dari gemerlap dunia seni.

“Anita sudah tidak mahukan popular atau hidup glamour, dia sudah tinggalkan dunia seni, enggan lagi masuk industri hiburan.

“Dia mahu menjalani kehidupan sebagai seorang isteri yang biasa dan seperti orang lain.

“Semoga Allah rahmati Anita dan Mahathir, tetapkan iman dan beroleh ukhrawi yang diredai Allah. Jaga diri dan Noor sayangkan Anita selagi hayat dikandung badan,” kongsinya.

Baca juga: ‘Mana saya nak letak muka? Saya malu satu Malaysia tengok saya turun sungai nak selamatkan Ija’ – Rakan