Opai hadiahkan jam tangan Rolex dianggar cecah RM49K sempena ‘birthday’ Fatin Afeefa

Oleh KIM SYAZIE

Perkongsian suami kepada Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang baru-baru ini menarik perhatian apabila menghadiahkan jam tangan jenama Rolex yang dianggarkan sekitar RM49,000 sempena ulang tahun kelahiran isterinya.

Kebelakangan ini netizen mengesyaki hubungan kedua-dua pasangan ini sedang dingin selepas Aliff atau dikenali sebagai Opai menyinggung perasaan ramai apabila mengatakan kereta bukan dalam kategori supercar adalah najis.

Berikutan itu Fatin memuat naik video menyindir suaminya itu, dan diikuti dengan pendedahan netizen yang mendapati Fatin serta suaminya mula memadam gambar masing-masing di akaun Instagram sehingga menimbulkan tanda tanya.

Bagaimanapun perkongsian terbaru sempena ulang tahun kelahiran aktres itu, menjawab segalanya apabila hubungan mereka sebenarnya baik-baik sahaja.

Menerusi video dimuat naik di Instagram, Fatin dan Opai bersama dua orang anak mereka dilihat sedondon mengenakan pakaian berwarna putih memasuki kawasan restoran sebelum disambut oleh beberapa ahli keluarga yang lain.

Opai menerusi ruang kapsyen berkata dia bersyukur dikurniakan seorang isteri yang luar biasa.

“Selamanya bersyukur kerana mempunyai wanita luar biasa ini di sisi saya, dan pada hari istimewanya, saya ingin menunjukkan kepadanya betapa dia sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Opai turut memberikan hadiah seutas jam tangan berjenama mewah kepada Fatin sebagai tanda kasih sayangnya kepada aktres itu.

Difahamkan, anggaran nilai jam tangan tersebut mencecah RM49,000 dengan bertakhtakan berlian dan emas jenis Everose.

Sementara itu, menjengah ke ruangan balas, rata-rata wargamaya turut merasa gembira melihat momen manis keluarga itu serta memuji sifat Aliff yang tidak berkira dengan isteri.

Baca juga: Suami tak ada kerja tetap tapi boleh kahwin dua, padahal duit semua isteri bagi